ADUN saran kurangkan menteri, bukan telur


SEORANG
wakil rakyat membidas kenyataan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berhubung peningkatan harga telur dipasaran.

Kerk Chee Yee yang mewakili pengundi Ayer Keroh berkata, melalui kenyataan Norena, ia hanya menggambarkan kerajaan bersikap tidak sensitif mengenai penderitaan dihadapi rakyat susulan peningkatan harga barangan keperluan asas.

Menyentuh mengenai keluhan rakyat berhubung peningkatan harga barang, beliau mempersoalkan apakah akan ada lagi saranan supaya rakyat 'mencatu' makan mereka selepas ini.

"Adakah kerajaan akan seterusnya menyarankan rakyat kurangkan makan ayam, minyak dan makanan keperluan asas lain apabila harga barang keperluan itu terus naik?

"Apakah kerajaan harapkan rakyat makan nanti?" soalnya dalam kenyataan.

Terdahulu warganet berkongsikan rakaman video saranan oleh Norena yang disiarkan saluran Youtube Melaka TV, rakaman itu menjadi tular dengan rata-rata rakyat mengkritik kenyataan yang dianggap mereka tidak sewajarnya dibuat seorang pegawai tinggi kementerian.
 
Norena menyarankan orang ramai terutama rakyat Melaka supaya mengurangkan pengambilan telur apabila harganya meningkat.

"Kalau dah tau kenaikan harga telur tu tinggi, kalau boleh kita kurangkan sikit makan telur.

"Kalau satu minggu kita makan lebih kurang 20 biji, kita kurangkan jadi 10 atau 15 biji. Tak ada masalah," kata Norena dalam rakaman itu.

Mengulas lanjut, Kerk berkata apa yang sepatutnya dilakukan bukan menyarankan rakyat mengurangkan pengambilan telur sebaliknya mengurangkan bilangan jemaah menteri.
 
"Memang tidak boleh dinafikan bahawa kenaikan harga turut disebabkan oleh pelbagai faktor luaran (external factors).

“Namun, kerajaan juga tidak mampu menyakinkan rakyat bahawa kerajaan telah melakukan usaha terbaik (best effort) dalam merancang pelan mitigasi bagi membantu negara kita mengharungi masalah ekonomi.

"Apa yang patut dikurangkan bukan telur tetapi bilangan ahli jemaah kabinet yang tidak mampu menjana idea bagi menyelesaikan masalah ekonomi yang dihadapi rakyat,” ujarnya.

Saranan Norena dikritik warganet di media sosial
Bermula 1 Julai, harga siling telur ayam pula naik antara 2 sen bagi setiap gred iaitu 45 sen sebiji bagi Gred A, 43 sen sebiji bagi gred B; dan 41 sen sebiji bagi gred C.

Kini pengguna bukan sahaja dihimpit kenaikan harga telur. Menjelang perayaan Aidiladha kurang seminggu lagi, rakyat turut berdepan kenaikan lebih 40 peratus harga minyak masak tulen seperti dilapor media.

Post a Comment

0 Comments