BEKAS Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran mahu siasatan dijalankan terhadap dana insentif pengambilan pekerja JaminKerja yang meragukan.
Ketika membahaskan pindaan Akta Sekuriti Sosial Pekerja 1969 di Dewan Rakyat semalam, Ahli Parlimen Ipoh Barat itu mahu kerajaan menyiasat mengapa hanya 1.23% daripada RM2 bilion yang diperuntukkan digunakan.
Menurutnya hanya lebih 50,000 individu yang layak dikenal pasti untuk insentif itu, justeru ia mendedahkan bahawa sasaran ditetapkan kerajaan ketika Bajet 2022 adalah untuk membantu 300,000 individu menganggur mendapatkan pekerjaan masih belum tercapai.
“Negara menghadapi masalah pengangguran yang rumit, jadi bagaimana hanya 1.23% daripada bajet yang diperuntukkan telah digunakan?” soal Ahli Parlimen Pakatan Harapan (HARAPAN) itu di Dewan Rakyat.
Beliau sebelumnya mengulas statistik diberikan Menteri Sumber Manusia M Saravanan dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong pada Selasa lepas.
Saravanan dalam jawapannya berkata, setakat 1 Julai, kementerian telah menerima 50,594 permohonan daripada 7,650 majikan untuk insentif pengambilan pekerja. Beliau menyifatkan program itu mempunyai “impak positif”.
Kulasegaran sementara itu mengandaikan dana itu mungkin telah disalahgunakan. Justeru menggesa Kementerian Sumber Manusia dan kerajaan menjalankan siasatan forensik mengenainya.
![]() |
Kula mahu siasatan forensik dijalankan |
Insentif itu tertakluk kepada pekerjaan dengan gaji RM1,500 dan ke atas.
0 Comments