Bertindak setelah rakyat marah, k'jaan dianggap 'lembab'

 


KERAJAAN Persekutuan diketuai Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob dikecam atas kegagalan mereka memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang.

Timbalan pengerusi DAP Johor,  Sheikh Umar Bagharib Ali dalam satu kenyataan berkata kerajaan patut dari awal telah mengemuka penyelesaian  menyeluruh berhubung kenaikan harga barang, bukannya bertindak mengikut reaksi orang ramai semata-mata.

Beliau yang menyifatkan kerajaan sangat lembab dalam isu berkait kehidupan rakyat itu menegaskan apa-apa kenaikan harga terutama berkait barang keperluan amat amat membebankan rakyat, apatah lagi menjelang Hari Raya Aidiladha selang beberapa hari lagi.

"Kerajaan sangat lembab dan perlahan dalam mengemukakan solusi yang meyakinkan. Ia digambarkan menerusi keputusan kerajaan yang cepat berubah-ubah contohnya dalam isu pemberian subsidi ayam.

"Kerajaan tidak boleh ambil pendekatan seolah-olah 'fire fighting' dan bertindak mengikut reaksi semata-mata kerana rakyat yang akan terus menjadi mangsa.

"Kerajaan sepatutnya dari awal lagi mengemukakan pelan strategik yang menyeluruh dan bersepadu serta mengambil kira punca dan juga kesannya terhadap ekonomi rakyat," katanya.

Sheikh Umar membuat kenyataan itu selepas memberi keterangan di ibu pejabat polis (IPD) Dang Wangi berhubung himpunan berkenaan kenaikan harga barang di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Terdahulu, langkah kerajaan pimpinan Ismail memansuhkan harga siling minyak masak tulen botol bermula Jumaat telah menyebabkan berlaku peningkatan mendadak harga keperluan asas rumah itu.

Ketika rakyat terutama golongan B40 dan M40 berdepan kesukaran mencari minyak sawit dalam peket yang masih dikekalkan subsidinya, media melaporkan berlaku peningkatan antara 42-45 peratus harga minyak botol.

Rakyat sambut raya dengan kenaikan harga barang
Sinar Harian dalam laporan susulan tinjuan di beberapa pasar raya di Shah Alam semalam mendapati kadar peningkatan itu melibatkan kesemua jenis minyak masak botol iaitu 1, 2, 3 dan 5 kilogram (kg).

Bagi minyak botol 5kg, peningkatan harga melibatkan pelbagai jenama termasuk Seri Murni yang naik kepada RM42.70 iaitu 44 peratus, diikuti Buruh, RM42.60 (43.5 peratus); Alif, RM42.50 (43 peratus); Vesawit, RM42.25 (42.5 peratus) dan Saji, RM42.20 (42 peratus).



Post a Comment

0 Comments