Buat perubahan, jangan ampu golongan rasuah - Anwar


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar satu perubahan dapat dilakukan di negara ini agar gejala rasuah boleh dibanteras.

Harapan itu disuarakan Anwar melalui satu hantaran video di laman Facebooknya sambil menggesa orang ramai mengelak diri dari menjadi pengampu dan penjilat kepada pelaku rasuah yang telah merompak kekayaan negara.

“Kita mesti manfaatkan waktu yang ada. Menanam semangat pada waktu yang ada. Ini adalah tuntutan al-Quran untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan.

“Bukan menjadi pengampu dan penjilat. Ada yang nyata salah guna berbillion ringgit. Masih disanjung oleh sebahagian kita.

“Apa maruah kita? apa jenis akhlak kita bicarakan. Apa agama kita? apa nilai hidup kita? Orang Islam, Hindu, Buddha mahupun Kristian, di mana ajaran yang nak mendewakan orang yang telah merompak kekayaan berbillion ringgit,” katanya dalam hantaran semalam.

Isu rasuah di Malaysia kini semakin membimbangkan dengan kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang dikeluarkan Transparency International (TI) menunjukkan Malaysia terus jatuh ke tangga 62 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga 57 pada 2020.

Presiden TI-Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan dalam satu sidang media pada Januari lalu berkata, analisis skor daripada 2012 sejak kaedah penilaian disemak semula hingga 2021, didadapati berlaku trend penurunan  CPI yang merudum.

Berdasarkan skor CPI, lebih tinggi skor direkodkan, lebih bersih sesebuah negara daripada rasuah manakala lebih rendah skor bermaksud lebih tinggi kes rasuah berlaku.

Sementara itu dalam video serupa Anwar berharap agar rakyat Malaysia dapat bangkit dengan menolak pemerintah yang secara jelas telah mengakibatkan kerugian terhadap negara.

Pelakuan rasuah mampu jahanamkan negara
“Ada isteri, siapa tidak sayang isteri, tetapi bukan dengan mengambil wang negara beli berlian ratusan juta ringgit. Bukan mengumpul kekayaan untuk diri sendiri.

“Guna wang itu belanja rakyat sedikit sebanyak supaya terus sokong dia.Hilang bukan ratus juta, billion ringgit. Masih orang kita belum bangkit untuk membantah,” ujarnya dipetik. 

Post a Comment

0 Comments