Anwar kesal DUN sabah naikkan gaji Menteri, ADUN ketika rakyat susah


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang meluluskan usul menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

Melalui satu kenyataan ringkas di Facebooknya malam tadi, Anwar yang juga presiden KEADILAN berkata beliau kesal dengan usul yang diluluskan ketika rakyat kebanyakkan sedang bergelut dengan masalah kos sara hidup yang tinggi.

"Saya ambil maklum keputusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul menaikkan saraan Ketua Menteri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota pentadbiran negeri yang lain.

"Saya ingin mengingatkan semua pemimpin agar sentiasa mementingkan kebajikan rakyat berbanding kepentingan diri mereka, terutamanya waktu yang sangat memprihatinkan saat ini," katanya sambil menggesa keputusan itu tidak diteruskan.  

Pada Selasa, DUN Sabah meluluskan usul untuk Rang Undang-Undang Anggota Pentadbiran dan Ahli Dewan Undangan (Saraan) (Pindaan) 2022 yang dicadangkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Anwar sifatkan tindakan dibuat tak wajar
Dengan kelulusan itu, saraan Ketua Menteri yang sebelum ini RM23,595 sebulan dinaikkan kepada RM33,033; Timbalan Ketua Menteri RM20,872.50 (RM29,221.50).

Gaji Menteri dnaikkan dari RM16,335 ke RM22,869; Speaker DUN RM16,335 (RM22,869); Pembantu Menteri RM12,705 (RM17,787); Timbalan Speaker DUN RM12,705 (RM17,787); ADUN RM7,950 (RM11,130); dan Setiausaha Politik RM5,445 (RM7,623).

Kenaikan itu difahamkan membabitkan peruntukan berjumlah RM5.6 juta setahun.

Post a Comment

0 Comments