GESAAN Timbalan Presiden KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli supaya ahli parti itu membuat laporan polis terhadap Najib Razak mendapat perhatian ahli parti itu apabila lebih 100 laporan polis telah difailkan terhadap bekas perdana menteri itu.
Dipetik laporan media, Rafizi berkata setakat ini sekurang-kurangnya 140 bahagian KEADILAN di seluruh negara telah bersetuju untuk membuat laporan polis di lokasi masing-masing.
Beliau sendiri telah membuat laporan polis terhadap Najib bersama Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad di balai polis Setiawangsa pada jam 11 pagi tadi.
Manakala Ahli Parlimen KEADILAN Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan Ketua Cabang KEADILAN Pasir Mas, Aina Naziratul Aini Sayuty juga telah membuat laporannya di balai polis Pantai.
Angkatan Muda KEADILAN (AMK) memfailkan laporan sama di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, manakala 43 laporan difailkan di Hulu Selangor.
"Kami ingin membuat laporan polis mengenai kecuaian Najib yang telah menyebabkan negara sedang berdepan dengan tuntutan berjumlah sekitar RM67.5 bilion.
"Tuntutan ini bermula ekoran keputusan Najib menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu pada tahun 2013. Najib sekali lagi tidak serius dengan notis tindakan saman diambil oleh waris kesultanan Sulu yang dimulakan pada tahun 2017.
"Maka, kami meminta pihak berkuasa menyiasat Najib di bawah peruntukan kanun jenayah sedia ada (Akta 574) dan Peraturan-Peraturan mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan olehnya," kata Ketua Cabang KEADILAN Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan.
Terdahulu Rafizi pada kongres KEADILAN di Shah Alam menggesa ahli parti itu menyanggah propaganda Najib serta naratif Umno dengan memfailkan laporan polis setiap kali beliau berbohong kepada orang ramai.
Semalam, Rafizi turut memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi dari Amanah dan DAP untuk membuat perkara sama.
Najib dakwa Rafizi cuba mengalihkan perhatian daripada isu berhubung tuntutan Sulu itu, sedangkan keputusan menghentikan bayaran tersebut dibuat pada 2013 iaitu ketika pentadbirannya.
“Beliau berlagak seperti ‘superstar’, seolah-olah tidak bersalah. Sepanjang empat tahun lepas, beliau hanya mengolah kebenaran dan memanipulasinya mengikut naratif sendiri.
![]() |
Najib didakwa cuai dalam buat keputusan |
“Najib sepatutnya mengambil langkah yang perlu untuk mengelak sebarang tindakan undang-undang diambil terhadap kerajaan, selepas menghentikan bayaran kepada mereka (waris Kesultanan Sulu),” kata bekas ahli Parlimen Pandan itu.
0 Comments