KERAJAAN Persekutuan diketuai Ismail Sabri Yaakob digesa segera mengembalikan semula subsidi barang keperluan dan makanan asasi rakyat.
Pengerusi Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohd Sany Hamzan melalui satu kenyataan berkata rakyat hari ini terkesan teruk dengan kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang semakin menggila yang berpunca daripada kelemahan pengurusan, penguatkuasaan dan pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia Ismail Sabri hari ini.
Turut mendesak supaya kerajaan membatalkan permit import (AP) barang makanan bagi menstabilkan harga barang di pasaran, AMANAH jelasnya akan terus komited dan konsisten bersama dengan denyut nadi rakyat.
“Kami akan terus membawa suara rakyat dalam apa medium sekalipun baik di Parlimen, Dewan Undangan Negeri hinggakan ke jalan-jalan raya,” ujarnya sambil juga menuntut perbahasan isu bekalan makanan negara (food security) diadakan di Parlimen.
Sementara itu dalam perkembangan berkaitan, Ismail dijemput untuk turun berbelanja bersama rakyat pada 22 Julai ini, bagi merasai sendiri bagaimana kenaikan harga barangan terutama barang basah memberi tekanan kepada ekonomi rakyat Malaysia.
Sany Hamzah yang juga ADUN Taman Tampler memaklumkan bahawa pihaknya telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM100 untuk perdana menteri berbelanja sendiri bersama rakyat marhaen di Pasar Tani yang terletak di Presint 3, Putrajaya pada jam 5 petang pada tarikh berkenaan.
“Kami tadi menyerahkan RM100 kepada setiausaha politik perdana menteri. Kita nak minta perdana menteri gunakan RM100 yang kita berikan itu tadi pada 22 Julai ini dan kita nak lihat dengan RM100 itu tadi berapa banyak barangan yang dapat dibeli oleh perdana menteri.
“Kita nak supaya perdana menteri merasai keperitan kehidupan rakyat dalam negara. Kita harap perdana menteri hadir," katanya pada satu sidang media di hadapan di hadapan pejabat perdana menteri hari ini.
Menyifatkan pemberian RM100 itu sebagai simbolik suara rakyat, Sany Hamzah walau bagaimanapun meminta rakyat tidak terkejut sekiranya harga barangan menjadi murah pada 22 Julai ini susulan kehadiran Ismail.
"Jangan kita terkejut kalau beliau hadir, mungkin ada harga barangan turun jadi murah. Mungkin barang yang selama ini tak ada di pasaran pun akan ada pada Jumaat ini,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam sidang media serupa, Sany Hamzah mempersoalkan apa peranan dimainkan menteri kabinet dalam menyelesaikan isu kenaikan harga barang, yang sudah menjadi rungutan rakyat sejak sekian lama.
![]() |
Ismail diajak rasai kesusahan rakyat miskin |
"Kita nak tanya kepada perdana menteri dan jemaah menteri paling ramai dalam dunia ni, dengan Kabinet 70 menteri ni, apa mereka lakukan untuk membantu kehidupan masyarakat dan rakyat yang sedang menderita dan sengsara? soalnya.
0 Comments