3 negeri Pakatan Harapan bakal bentang RUU anti-lompat


KERAJAAN NEGERI
yang dipimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak keberatan untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi membolehkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 berkaitan larangan ahli parlimen bertukar parti dikuat kuasa.

Di Pulau Pinang,  Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, beliau telah mengarahkan Penasihat Undang-Undang Pulau Pinang untuk melihat dan membantu bagaimana ia dapat diselarikan dalam perkara tersebut.
 
Dipetik laporan media, Kerajaan Negeri jelasnya juga akan mengadakan sidang DUN khas untuk melaksanakan pindaan yang perlu kepada perlembagaan negeri supaya ia dapat dibentangkan dalam masa terdekat, iaitu pada September.

“Kita berharap dapat ambil tindakan ini supaya dapat kemas kini undang-undang negeri sedia ada dan selari dengan apa yang diluluskan di Parlimen,” katanya.

Sementara itu di Selangor,  Ketua Whip Pakatan Harapan (HARAPAN) di Dewan Undangan Negeri, Elizabeth Wong, berkata beliau akan berusaha memastikan RUU itu yang bakal dibentang di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor seawal-awalnya akhir November ini.

Dengan mengharapkan ia mendapat sokongan dua pertiga ADUN, HARAPAN Selangor jelasnya sedia bekerjasama dengan pembangkang negeri itu bagi melaksanakan rang undang-undang (RUU) anti-lompat.

“Saya akan kerjasama dengan pejabat speaker DUN Selangor dan pejabat ketua pembangkang Selangor untuk pastikan dapat dua pertiga bagi luluskan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

“Kalau ketua pembangkang Umno sokong enakmen anti-lompat parti bersama ADUN bebas, kita akan harap hujung November ini ia dapat diluluskan,” katanya dipetik laporan FMT.

Terdahulu, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dilaporkan berkata bahawa HARAPAN memberi jaminan semua negeri di bawah pentadbiran mereka iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan akan meminda Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Negeri secepat mungkin, selepas RUU itu diluluskan.

Ia katanya bagi membolehkan RUU berkaitan larangan wakil rakyat bertukar parti itu dapat diseragamkan dan dikuat kuasa di peringkat negeri sebelum PRU15.

Sementara itu di Negeri Sembilan, Menteri Besar Aminuddin Harun mensasarkan agenda mengenai pindaan itu dapat dibawakan pada November akan datang.

Langkah baik pulih keyakinan rakyat
Ia memandangkan perkara itu tidak sempat dibawa pada persidangan DUN Negeri Sembilan yang dijadualkan pada Ogos ini kerana ia memerlukan masa 14 hari untuk menghantar notis kepada ADUN.

“Insya-Allah, kita akan bawa dalam persidangan selepas itu, mungkin dalam November ini. Kerajaan negeri tiada masalah, kita nampak semua menyokong. Kita meraikan keputusan (lulus RUU) tersebut yang akan memberi keyakinan kepada pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Ia juga memberi harapan kepada rakyat, rakyat dah jemu, muak tak suka kita lompat (parti) sesuka hati tanpa berbincang dengan pengundi yang memilih mereka,” katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments