Anwar rasa lucu bila 'katak' pun tak sokong lompat melompat



PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsikan sisi lucu ketika rang undang-undang (RUU) mengenai larangan melompat parti diluluskan.

Melalui satu klip video pendek yang dikongsikan semalam, Ketua Pembangkang itu bukan sahaja disokong pihak yang menentang amalan lompat parti, tetapi rang undang-undang itu juga mendapat sokongan beberapa Ahli Parlimen yang melakukan tindakan itu sehingga dianggap sebagai pengkhianat oleh sebahagian orang.

"(Apa) yang melucukan ialah, kita dapat (sokongan) 209 ahli parlimen termasuk Pakatan Harapan yang memang konsisten, dan orang yang bersekongkol dengan komplot khianat ini, dan katak-katak, orang yang melompat (sebelum ini) pun turut mengundi.

"Maka ini satu perkara yang melucukan, tapi menyenangkan, alhamdullilah," katanya.

Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan cadangan pindaan perlembagaan berhubung tindakan melompat parti menerusi RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan peruntukan larangan ahli parlimen bertukar parti.

Ia disokong semua 209 ahli parlimen yang hadir, manakala 11 lagi tidak hadir.

RUU itu kemudian akan dibentang, dibahas dan dijangka diluluskan Dewan Negara bulan depan.

Gesaan untuk melaksanakan akta melarang tindakan melompat parti dipergiat ekoran tindakan sekumpulan ahli parlimen KEADILAN diketuai Azmin Ali menyertai Bersatu meninggalkan HARAPAN pada akhir Feb 2020.

Bersatu kemudian bekerjasama dengan PAS dan BN dan disokong Gabungan Parti Sarawak untuk membentuk kerajaan baru walaupun tidak mendapat mandat oleh rakyat untuk menubuhkan kerajaan pemerintah.

Anwar harap pembelotan dapat dikekang


Sementara itu, Anwar ketika mengulas mengenai rang undang-undang itu berkata, beliau yakin kegiatan membelot dan melompat parti akan dapat dikekang selepas ini.


Berharap langkah itu dapat mengembalikan keyakinan rakyat selepas mandat mereka dikhianati katak-katak politik, Anwar turut berkata, lulusnya rang undang-undang itu sebagai kemenangan kepada rakyat.