Tak munasabah laksana semula GST saat rakyat terbeban teruk

 


PAKATAN HARAPAN membantah cadangan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob yang mungkin akan memperkenal semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada rakyat.

Dalam satu kenyataan, Majlis Presiden gabungan itu menegaskan bahawa pelaksanaan semula GST itu akan mengakibatkan kenaikan mendadak harga barang dan rakyat menerima tekanan yang amat dasyat lebih-lebih lagi dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat.

Dalam keadaan inflasi yang semakin tinggi, rakyat sangat terkesan dengan kenaikan kos sara hidup serta pendapatan isi rumah yang berkurangan akibat pandemik Covid-19.

"Pengenalan semula GST bakal mengakibatkan harga barang meningkat dengan mendadak.

"Jika ditambah dengan masalah rantaian bekalan serta gaji yang tidak meningkat, rakyat akan menerima tekanan yang amat dahsyat," kata kenyataan itu.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke dan Presiden Upko Madius Tangau.

Sebagai rekod, pelaksanaan GST dianggap sebagai satu sebab penolakan rakyat  kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) ada pilihan raya yang lepas. Kerajaan HARAPAN yang mendapat mandat rakyat bagi menggantikan BN memansuhkan pelaksanaan cukai itu.

Ismail pada Selasa berkata, kerajaan berminat memperkenalkan semula sistem cukai itu walaupun sedar bahawa ia tidak popular.

Tambah Naib Presiden Umno itu, kerajaan hilang hasil tahunan RM20 billion ($4.57 billion) akibat pemansuhan cukai yang diperkenal bekas perdana menteri, Najib Razak itu.

Sementara itu Kenyataan itu menyebut, adalah tidak munasabah kerajaan bercadang untuk mengutip lebih banyak cukai daripada rakyat tanpa membuktikan dahulu reformasi dan penambahbaikan urus tadbir kerajaan yang berjaya dilaksana.

Ia terutama apabila kerajaan berdepan masalah persepsi dari segi urus tadbir serta kemerosotan negara ke tangga ke-62 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International.

Rakyat bakal dihimpit beban yang dasyat
"Tiada guna mengutip lebih banyak cukai jika akhirnya nanti duit rakyat dibazirkan akibat rasuah, ketirisan dan kronisme

"Oleh itu, HARAPAN tidak bersetuju dengan cadangan memperkenal semula cukai GST selagi pelbagai isu ini terus membelenggu rakyat," kata mereka sambil membangkitkan kedudukan Malaysia di tangga kedua dalam indeks kapitalisme kroni yang dikeluarkan The Economist.

 

Post a Comment

0 Comments