Persatuan Islam bimbang langkah k'jaan tambah beban rakyat

 

KERAJAAN digesa menyediakan mekanisme bagi menangani kos sara hidup rakyat susulan langkah menghapuskan harga siling ayam dan telur serta penamatan subsidi minyak masak botol bermula 1 Julai.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, perkembangan mutakhir itu dilihat bakal memberi kesan besar kepada rakyat yang sedia tertekan dengan kenaikan kos hidup.

"Justeru, kerajaan harus menyediakan landasan mekanisme yang komprehensif untuk persediaan rakyat berhadapan peningkatan kos-kos menjelang 1 Julai nanti.

"Pendekatan yang diambil ini bukan sahaja bersifat “one-off” tetapi dengan memastikan kitaran perekonomian rakyat dapat berjalan dengan baik.

“Mekanisme ini harus meliputi kajian mendalam membabitkan data dan jangkaan-jangkaan kerumitan yang bakal berlaku susulan pengumuman tersebut," katanya dalam kenyataan.

Ketika rakyat masih bergelut bangkit dari kesan pendemik Covid-19 pentadbiran Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan harga kawalan siling ayam, telur ayam dan subsidi minyak masak tulen bagi pek kemasan botol tidak akan diteruskan.

Susulan itu dijangka harga ayam dan telur serta yang berkaitan dengannya dijangka bakal naik. Ia ditambah lagi dengan kebimbangan kenaikan tarif elektrik setelah media melaporkan kadar semasa bakal disemak semula.

Susulan semua perkembangan itu, Muhammad Faisal berkata pihaknya khuatir pengumuman itu akan menambahkan lagi beban rakyat ekoran peningkatan kos-kos keperluan rakyat.
 
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Agung Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Ahmad Firdaus Hadzir pula menegaskan kerajaan perlu mempertimbangkan bukan sahaj nasib golongan B40, malah kumpulan M40 yang kian terbeban akibat peningkatan harga barang.

"PKPIM mengulangi pendirian kami tentang kawalan terhadap harga barangan di pasaran dalam usaha pemerkasaan terhadap dasar sekuriti makanan, di mana jaminan bekalan makanan yang cukup, harga yang berpatutan serta makanan yang bernutrisi merupakan asas utama bagi dasar berkenaan," katanya.

Selain itu katanya, kerajaan juga perlu menyelesaikan masalah penyaluran bantuan kepada penerima BKM akibat maklumat yang tidak dikemaskini oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyifatkan pengumuman tambahan RM100 untuk isi rumah B40 dan RM50 kepada golongan bujang melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) oleh Ismail sebagai bukan langkah terbaik menyelesaikan isu dihadapi rakyat.

Apakah k,jaan tak peduli derita rakyat?
Pengerusinya,  Nadzim Johan berkata, kerajaan seharusnya melihat pelan ekonomi bersifat jangka panjang untuk rakyat termasuk golongan yang tidak menerima BKM.

Menggesa Putrajaya supaya menjelaskan hala tuju hasil kerajaan selepas penarikan subsidi yang berperanan membantu ekonomi rakyat, Nadzim turut memberi ingatan supaya hasil dikutip kerajaan digunakan bagi membantu rakyat terjejas dan bukannya projek berskala besar.

Post a Comment

0 Comments