Elaun pengarah naik, nasib peneroka bagaimana? - Anwar


DITENGAH kegusaran rakyat berhubung pemansuhan harga siling ayam dan telur, elaun pengerusi bukan eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) dilapor telah dinaikkan.

Media yang memetik notis mesyuarat agung tahunan (AGM) syarikat itu, melaporkan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun, bermula 24 Jun 2022 hingga AGM akan datang.

Imbuhan pengarah bukan eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.

Selain itu, AGM turut meluluskan pemberian kereta syarikat untuk kegunaan pengerusi dengan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000 berbanding elaun kereta syarikat sebanyak RM15,000 sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan sebelum ini.

Ia antara 13 resolusi diluluskan majoriti pemegang sahamnya dalam AGM semalam yang kemudian dimaklumankan kepada Bursa Malaysia.

Turut diluluskan dalam resolusi itu adalah elaun perniagaan rasmi turut diberikan kepada pengerusi bukan eksekutif dan pengarah bukan eksekutif FGV.

Elaun itu adalah sebanyak RM1,000 sehari bagi menghadiri mesyuarat dengan wakil kerajaan atau pihak ketiga seperti perunding, jurubank dan penasihat bagi pihak syarikat dengan laporan rasmi kepada Lembaga Pengarah atau Lembaga Jawatankuasa; atau lawatan rasmi ke projek dan atau rujukan tapak untuk menasihati pengurusan dan atau syarikat.

Sebelumnya seorang wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) mempersoalkan cadangan-cadangan syarikat itu dalam AGM nya yang dakwanya terdapat agenda untuk “memenuhkan poket” pengerusi dan ahli lembaga pengarahnya.

Young Shefura Othman yang mewakili rakyat kawasan Ketari berkata langkah itu hanya menambahkan kekayaan golongan kaya sementara nasib 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40) tetap begitu.

“Apa agenda mesyuarat ini? Adalah untuk mengenal pasti bagaimana hendak membantu peneroka?

“Tidak!” katanya.

Berita mengenai kenaikan elaun itu turut menarik perhatian Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Melalui hantaran di laman mikr twitternya, Pengerusi HARAPAN itu mempersoalkan apa langkah diambil FGV bagi membela golongan peneroka.

"Saya difahamkan Syarikat perladangan FGV Holding Bhd akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan ke-14.

Anwar soal apa langkah selesai isu peneroka
"Justeru, saya ingin bertanya adakah benar mesyuarat ini hanya akan menumpukan mengenai kenaikan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah FGV?

"Jika perkara ini benar, maka saya ingin bertanya bagaimana pula dengan nasib peneroka? Adakah permasalahan yang dihadapi mereka saat ini turut dibincangkan?" soal Anwar.