AHLI PARLIMEN Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyelar Mesyuarat Agung Tahunan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) FGV Holding Berhad (FGV) pada Khamis yang dakwanya hanya fokus meluluskan usul membayar elaun mereka sahaja dan bukan membincangkan kepentingan peneroka.
Dipetik laporan Sinar, bekas Pengerusi KEADILAN Johor itu berkata, tindakan itu satu pengkhianatan kepada peneroka. Mesyuarat itu tegas Hassan sepatutnya menumpukan untuk memberi penyelesaian terhadap masalah hutang, pendapatan yang tidak terjamin, pembangunan kebun dan tanam semula dihadapi peneroka.
"Mengapa saya katakan ahli BOD FGV mengkhianati peneroka-peneroka Felda? Sebabnya daripada sembilan agenda mesyuarat agung itu pada hari ini, agenda nombor dua hingga enam difokuskan hanya kepada meluluskan usul untuk membayar elaun ahli-ahli BOD FGV.
"Elaun-elaun yang dibayar kepada ahli-ahli BOD FGV amatlah tinggi dan lumayan sekali. Jumlah elaun tahunan yang dibayar kepada ahli-ahli BOD itu kelihatan 'lucah' jika dibandingkan dengan kehidupan sukar peneroka-peneroka Felda.
"Agenda ketujuh dan kelapan mesyuarat agung ini ialah melantik semula enam ahli BOD FGV yang sepatutnya bersara. Nama mereka diusulkan supaya dilantik semula. Mereka ini akan terus menikmati elaun-elaun lumayan daripada FGV," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu media melaporkan mesyuarat semalam meluluskan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) dinaikkan kepada RM40,000 sebulan, berbanding RM25,000 sebelum ini.
Imbuhan pengarah bukan eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.
Mesyuarat turut meluluskan pemberian kereta syarikat untuk kegunaan pengerusi dengan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000 berbanding elaun kereta syarikat sebanyak RM15,000 sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan sebelum ini.
Elaun perniagaan rasmi turut diberikan kepada pengerusi bukan eksekutif dan pengarah bukan eksekutif FGV sebanyak RM1,000 sehari bagi menghadiri mesyuarat dengan wakil kerajaan atau pihak ketiga seperti perunding, jurubank dan penasihat bagi pihak syarikat.
Sementara itu Hassan berkata, FGV yang dimiliki sebahagian besar sahamnya oleh Felda perlu berfungsi membantu Felda dan kerajaan dalam menolong peneroka, generasi kedua dan ketiga Felda mengatasi masalah sosioekonomi di tanah rancangan itu.
Katanya, pada 2019 kerajaan Persekutuan diteraju Pakatan Harapan (HARAPAN) telah membentangkan kertas putih di Parlimen untuk menyelamatkan peneroka, Felda dan FGV daripada kerugian serta hutang yang besar menerusi suntikan berbilion ringgit.
"Jadi, amat malang dan sungguh tidak bertanggungjawab jika ahli-ahli BOD FGV pada mesyuarat agung mereka itu hanya membincang, membentang dan meluluskan elaun-elaun mereka sendiri," katanya.
![]() |
Hassan gesa campur tangan Ismail Sabri |
"Rakyat Felda dan anak-anak mereka perlukan pembelaan. Penyelewengan ahli-ahli BOD FGV perlu ditamatkan segera," katanya menurut laporan itu.
0 Comments