Pemimpin gagal kalau rakyat masih rasa macam hamba - Anwar


PENGERUSI
Pakatan Harapan (HARAPAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan seseorang  seseorang pemimpin dianggap gagal membawa perubahan jika nasib rakyat terus terabai.

Ketika berucap dalam program Jelajah Harapan Selangor di Dataran Pantai Morib semalam, Presiden KEADILAN itu mengaitkan nasib rakyat negara ini yang menurutnya seolah-olah terus dihambakan apabila salah guna kuasa dan eksploitasi sumber terus dibiarkan.

“Bagaimana darjat manusia diangkat? Membebaskan manusia daripada perhambaan. Kerja teruk, kilang untung beratus juta, gaji pekerja RM1,000.

“Nama saja negara merdeka tapi manusia di dalamnya diperhambakan. Wang dalam negara, hasil minyak dan balak dimentekedarah. Apa bezanya dengan perhambaan? Inilah perhambaan namanya.

“Rakyat di bawah tidak dipedulikan. Anak muda tiada kerja, tidak jadi isu. Mutu pendidikan ranap, tidak jadi isu,” katanya.

Mengulas perjuangan dibawakan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan HARAPAN, Anwar berkata gabungan itu mahu bawa perubahan ke arah kebaikan, mengangkat darjat manusia.

“Naratif kita berbeza kerana Pakatan Harapan bercakap soal kemanusiaan, kita bercakap tentang mengangkat darjat manusia.

Rakyat tak layak dilayan macam hamba
"Bagaimana manusia ini angkat darjat mereka? Pertama, jangan jadikan manusia itu hamba. Baik Muslim mahupun bukan, jangan menindas mereka.

“Pemimpin kaya-raya. Rakyat keadaannya macam sekarang ini. Itu pun bila datang pilihan raya, Yang Berhormat, Yang Berhormat, (rakyat) cium tangan,” ujarnya.