Ismail dikritik pakai baju mewah ketika rakyat susah


NAIB
Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sekali lagi dikritik kerana memakai pakaian mahal pada masa ramai rakyat Malaysia biasa bergelut untuk memenuhi keperluan hidup.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dipetik laporan Malaysiakini berkata orang yang bertanggungjawab ke atas almari pakaian Ismail perlu diganti kerana tindakan pemimpin itu hanya mengambarkan dia seolah-olah terasing dari realiti semasa.

"Pada masa semakin ramai orang menderita akibat kenaikan kos barangan, PM tidak seharusnya dilihat terasing daripada realiti rakyat.

“Busana mahal sebegitu tidak sepatutnya menjadi pilihan utama. Sebaliknya, PM boleh menggunakan peluang dan keterlihatan kerana kedudukannya untuk menonjolkan karya pereka tempatan (yang juga tidak perlu menjadi sebahagian daripada keluarga terdekatnya),” tambah Fahmi.

Sebagai rekod menantu Ismail, Jovian Mandagie juga seorang pereka fesyen.

Terdahulu Ismail dikesan memakai kemeja pendek berjenama Burberry bernilai RM6,900.

Baju terbaru ini disenaraikan di laman web Burberry sebagai organza sutera slogan lengan pendek merah dan berharga RM6,900 dan sudah tidak boleh lagi ditempah.

Pakaian Ismail itu bukan sahaja mendapat perhatian Fahmi, malah warganet berkongsikan gambar Ismail mengenakan pakaian itu di media sosial dengan kritikan termasuk mempersoalkan apakah seorang lelaki Islam boleh mengenakan pakaian dari sutera. 

Ismail seolah-olah tak faham rakyat sedang susah
Bulan lalu, Ismail dikecam di media sosial kerana memakai kemeja juga dari berjenama Burberry semasa pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Singapura di Tokyo, Jepun.

Kemeja yang bercorak abstrak dengan campuran warna hitam, putih dan biru disenaraikan berharga RM5,500. 

Post a Comment

0 Comments