ANAK bidas keputusan naik elaun pengerusi, pengarah FGV


PERSATUAN Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), mengkritik keputusan FGV Holdings Bhd (FGV) yang menaikkan elaun pengerusi bukan eksekutif dan pengarah bukan eksekutif melalui Mesyuarat Agung Tahunan (AGM)-nya  baru-baru ini.

Penasihat persatuan itu Mazlan Aliman berkata, langkah menaikkan elaun itu keputusan terburu-buru dan tidak sensitif terhadap penderitaan rakyat dan akan menyebabkan kemarahan warga peneroka memandangkan pegangan Felda kepada FGV adalah 80%.

“Dikala rakyat termasuk warga Felda terkesan dengan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan mulai 1 Julai subsidi minyak masak, ayam dan telur ayam ditarik, keputusan ini terburu-buru dan tidak sensitif dengan beban ditanggung rakyat.

“Hampir 70% warga Felda adalah Generasi Baharu Felda kerana ibu bapa (peneroka asal) telah meninggal dunia.

“Meskipun harga sawit stabil ketika ini, tapi pendapatan diagihkan sesama adik beradik. Jika kebun dalam proses tanam semula dan pokok sawit tua, berapa sangat hasil diterima setiap bulan,” katanya dipetik FMT.

Tidak menafikan keuntungan dicapai FGV susulan kenaikan harga minyak sawit mentah (MSM) di pasaran global hasil dedikasi kakitangan.

Namun, katanya, ia tidak bermakna elaun jawatan berkenaan perlu dinaikkan.

“Keuntungan FGV pun sebahagian besarnya disumbang kesan kenaikan harga sawit kebelakangan ini dari krisis dunia. Apakah jaminan kestabilan harga komoditi sawit boleh dipertahankan? Walhal kita sedia maklum turun naik harga sawit sentiasa berlaku sejak sekian lama,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Mazlan menggesa kerajaan mempertimbangkan semula keputusan AGM FGV dengan mengambil kira kedudukan ekonomi negara.

Sebelum ini keputusan itu dipersoal banyak pihak. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan selain dari menaikkan elaun Pengerusi syarikat itu, apa langkah dilakukan Ahli Lembaga Pengarah bagi menyelesaikan masalah dihadapi peneroka.

Sementara, veteran politik, Lim Kit Siang yang melihat keputusan itu sebagai berlebihan menggesa supaya kerajaan membekukan kenaikan gaji dan elaun GLC serta GLIC ketika rakyat terbanyak berdepan kesukaran hidup.

Keputusan naik elaun tindakan terburu-buru
Baru-baru ini dilaporkan elaun pengerusi bukan eksekutif FGV Holdings Bhd (FGV) dinaikkan kepada RM40,000 sebulan, berbanding RM25,000 sebelum ini, antara 13 resolusi diluluskan majorviti pemegang sahamnya dalam mesyuarat AGM syarikat itu.

Menurut notis AGM itu, elaun pengerusi bukan eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun, bermula 24 Jun 2022 hingga AGM akan datang.

Imbuhan pengarah bukan eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan

Post a Comment

0 Comments