JAWATANKUASA Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa Putrajaya mengekalkan harga siling ayam dan telur serta subsidi minyak masak botol 2kg, 3kg dan 5kg.
Merujuk cadangan kerajaan untuk memansuhkan harga siling dan subsidi itu sebelum ini, jawatankuasa itu menyifatkannya sebagai langkah “separuh masak dan tergesa-gesa”.
Jika dilaksanakan bermula 1 Julai ini tegas mereka, ia akan menyebabkan kadar inflasi meningkat serta membebankan rakyat.
Dalam kenyataan bersama, mereka mencadangkan beberapa perkara bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan, ia antaranya dengan memberi subsidi tambahan kepada penternak dan peniaga ayam mengikut situasi bagi memastikan bekalan produk itu tidak terganggu.
Selain bersetuju dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan tarif air serta elektrik, Jawatankuasa itu turut menegaskan agar harga tong gas memasak dan petrol RON95 dikekalkan.
Mereka juga mencadangkan agar Putrajaya menggunakan hasil daripada “cukai makmur” untuk membantu rakyat dan menangguhkan projek mega seperti Transit Aliran Massa 3 (MRT3), Laluan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) serta Tun Razak Exchange (TRX).
![]() |
Potong elaun menteri, tambah subsidi untuk rakyat |
Dalam kenyataan sama, jawatankuasa itu menggesa Majlis Presiden HARAPAN dan rakyat bersama-sama melancarkan protes besar-besaran di seluruh negara atas kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup.