PRESIDEN Parti KEADILAN Rakyat (KEADILAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerajaan memastikan hak golongan nelayan di negara ini terjamin.
Melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, Anwar yang juga merupakan Ketua Pembangkang berkata, kerajaan khususnya kementerian terlibat untuk mencari jalan penyelesaian segera bagi merungkai permasalahan ‘orang tengah’ dalam rantaian bekalan sektor perikanan negara.
Tambahnya, isu dihadapi golongan berkenaan amat mendukacitakan kerana memberi kesan mendalam terhadap mereka dan keluarga untuk meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan serba mencabar kini.
BACA: Tambak laut jangan sampai jejas golongan nelayan
"Usah biarkan sindiket orang tengah mendominasi bekalan sektor perikanan dan terus menekan golongan nelayan di negara ini.
"Kerajaan menerusi Kementerian terlibat perlu menyatakan pendirian terkait perkara ini sekali gus mencari jalan untuk merungkai permasalahan yang berlaku dan menawarkan jalan penyelesaian," kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.
Media baru-baru ini melaporkan kewujudan orang tengah yang mengawal rantaian bekalan sektor perikanan negara sehingga menjadi punca harga dan bekalan ikan dan produk akuakultur di negara ini tidak stabil.Orang tengah manipulasi harga pasaran
Mereka bukan sahaja berkuasa membeli ikan pada skala besar, mencorak, menentu serta memanipulasi bekalan dan harga di pasaran negara tetapi juga membangunkan ekosistem perikanan kebal yang tidak mampu ditembusi pesaing baharu.
0 Comments