MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad dititah supaya menghadiri festival Bon Odori di Shah Alam untuk “memahami perbezaan antara agama dan budaya”.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin bertitah, baginda tidak mahu menteri itu menggunakan platform Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk membuat “kenyataan yang mengelirukan dan tidak tepat serta boleh menjejaskan imej dan reputasinya.”
Baginda turut menegah pihak tertentu sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam.
"Mereka juga perlu berlaku adil dalam membuat apa jua kenyataan umum yang melibatkan keharmonian bermasyarakat," titahnya.
Menurut baginda sultan, Festival Bon Odori yang diraikan di Malaysia sejak berpuluh tahun adalah hanya satu perayaan kebudayaan. Ia bagi mengeratkan semangat muhibah di antara rakyat Malaysia dan komuniti Jepun yang bekerja dan bermastautin di negara ini.
Sambutan Bon Odori di Malaysia adalah lebih kepada festival kebudayaan yang mempamerkan budaya tradisional rakyat Jepun khususnya tarian, persembahan gendang, perhiasan tanglung, pakaian dan makanan tradisi Jepun, serta produk makanan tempatan.
"Ia juga dipromosikan sebagai hari untuk menyatukan kembali keluarga dan rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu," titah baginda lagi.
Terdahulu, Idris yang merupakan Naib Presiden Pas menimbulkan kontroversi apabila memberitahu supaya umat Islam tidak menyertai festival Bon Odori, dengan mendakwa perayaan itu “dipengaruhi unsur agama lain”.
Ia kemudian menjadi polimik di media sosial.
Sultan cadang menteri hadir sendiri festival |
Justeru baginda tidak mahu pihak tertentu khususnya ahli politik menggunakan isu menyentuh sensitiviti agama sebegini untuk kepentingan peribadi dan meraih populariti semata-mata.
0 Comments