Gesaan menteri PAS disambut kritikan


 GESAAN menteri PAS, Idris Ahmad supaya umat Islam di negara ini tidak menyertai menyertai festival kebudayaan Jepun-Bon Odori yang akan berlangsung 16 Julai ini disambut dengan kritikan.

Seorang bekas diplomat, Dennis Ignatius dipetik laporan FMT berkata, beliau diberitahu komuniti Jepun di Malaysia terkejut dengan kenyataan Idris yang turut menimbulkan kebimbangan di Jepun tentang “radikalisme agama”.

“Kebimbangan itu perlu diberi perhatian. Inilah yang akan berlaku bila bawa masuk PAS dalam kerajaan,” katanya dengan membangkitkan impak kenyataan itu ke atas pelaburan Jepun di negara ini.

Gesaan Idris turut mendapat perhatian bekas duta Malaysia ke Belanda, Noor Farida Mohd Ariffin, yang khuatir komen Idris mungkin beri kesan kepada hubungan antara kedua negara.

Sebagai seorang menteri, Naib Presiden PAS itu tegasnya patut sedar akan akibatnya sebelum mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Idris sebelum ini mendakwa festival tersebut mengandungi unsur agama lain.  Dia merujuk persembahan tarian dengan dikaitkan bagi menghormati semangat nenek moyang dalam perayaan Buddha Jepun.

Bagaimanapun Istana Selangor dalam kenyataan menegaskan bahawa festival Bon Odori yang diadakan di Malaysia sejak berpuluh tahun “hanya perayaan kebudayaan” dan diraikan bagi mengeratkan semangat muhibah antara rakyat tempatan dengan komuniti Jepun yang bermastautin di sini.

Festival itu dianggap sebagai antara festival yang paling penting bagi masyarakat Jepun dan disambut pada setiap bulan Julai.

Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tarian, nyanyian, persembahan dram dan gendang Jepun dengan tumpuan kepada tarian Obon.
Sementara itu baginda sultan Sharafuddin Idris mengingatkan supaya Idris tidak sewenang-wenangnya melabelkan sesuatu perkara itu negatif tanpa membuat kaji selidik yang mendalam dan menggunakan isu sensetiviti agama demi meraih populariti.

Justeru Idris dicadangkan supaya menghadiri sendiri ke festival tersebut untuk memahami perbezaan antara aktiviti agama dan budaya.

Gesaan Idris itu turut mendapat perhatian masyarakat.


Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam Muhammad Shakir Ameer berkata festival Bon Odori telah diadakan di Malaysia selama lebih dari 30 tahun lalu dan tidak mengandungi pengaruh atau ritual agama lain yang boleh menyesatkan umat Islam.

“Dari pemahaman saya, tarikan utamanya ialah unsur muziknya seperti tarian dan gendang... Kenapa ia perlu jadi isu sekarang?

“Umat Islam harus diberi peluang untuk menilai sendiri diri tentang pelbagai sambutan perayaan kebudayaan di Malaysia.

“Kita tidak boleh benarkan pendapat pemimpin PAS daripada menghalang kita sebagai rakyat Malaysia daripada mempamerkan kepelbagaian budaya,” kata Shakir.


Ahmad Zaidi, 43 bekas pelajar tajaan JPA di Jepun pula mempersoalkan apa motif larangan itu.

"Bon Odori sudah berlangsung di Malaysia selama 40 tahun. Ia adalah acara kebudayaan Jepun di Malaysia.

"Takkanlah selama 40 tahun ia dilangsungkan di Malaysia, tiada tok guru yang sedar tentang keterpesongan aqidahnya? Ada motif politik ke," soalnya dipetik laporan Malaysiakini.

Apakah kenyataan Idris ada niat politik?
Tambahnya pihak  berkenaan tidak bersusah payah dalam perkara-perkara remeh.

“Menteri kata jangan pergi Bon Odori, takut terpesong akidah.

"Aku harap menteri yang sama itu jugak bersusah payah guna otak untuk bantu rakyat supaya hidup lebih selesa, bukan bimbangkan perkara-perkara remeh," tegasnya.


Post a Comment

0 Comments