SAM tuntut Menteri Besar Kedah telus pada rakyat


SEBUAH 
Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar mahu Menteri Besar Kedah dari PAS, Muhammad Sanusi Md Nor bersifat telus dalam isu mengekstrak elemen nadir bumi (REE) di negeri itu.

Gesaan itu dibuat Sahabat Alam Malaysia (SAM) susulan kebimbangan mereka terhadap kenyataan Muhammad Sanusi bahawa kerajaan negeri telah mengadakan perjanjian dengan sebuah syarikat yang berpusat di Kuala Lumpur untuk menjalankan aktiviti penerokaan dan perlombongan mineral bumi itudi Sik, Kedah.  

"Menurut laporan media, Sanusi mendakwa bahawa REE tidak radioaktif dan dijumpai di Sik, Ulu Muda dan Baling di Kedah.

"Dakwaan serupa dibuat tahun lalu oleh bekas menteri air, tanah dan sumber asli (Dr Xavier Jayakumar) mengenai perjanjian antara syarikat China dan kerajaan negeri Perak untuk penerokaan bahan galian nadir bumi."

"Kebimbangan kami tidak akan dilegakan oleh (kenyataan) menteri besar Kedah atau kerajaan pusat bahawa usaha itu tidak melibatkan unsur radioaktif," kata Presidennya,  Meenakshi Raman dalam satu kenyataan.

Sementara itu, NGO alam sekitar itu turut mempersoalkan, apakah usaha sama tersebut melibatkan syarikat Chinalco GXNF Rare Earth Development dari China?

Kerosakan alam sekitar di China

 
SAM mendakwa kajian awal mengenai pengalaman di China menunjukkan bahawa terdapat kerosakan alam sekitar yang sangat serius dan kesan burruk terhadap kesihatan manusia yang berkaitan dengan perlombongan dan pencucian larutan sumber tanah pencerapan ion untuk nadir bumi itu.

"Pertama, demi kepentingan ketelusan, kami meminta kerajaan negeri Kedah untuk memaklumkan kepada orang ramai serta mendedahkan isi perjanjian dan syarikat yang terlibat dalam projek usaha sama tersebut.

"Orang ramai berhak untuk tahu syarikat itu ditugaskan untuk membuat apa dan di mana aktiviti penerokaan akan dilakukan serta apa jaminan perlindungan alam sekitar dan keselamatan sosial yang akan dilaksanakan.

"Kedua, kami meminta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli untuk memaklumkan kepada orang ramai dasar kerajaan mengenai pengembangan industri nadir bumi, dan mendapatkan rundingan daripada orang ramai sebelum mengizinkan negeri-negeri untuk melakukan kegiatan tersebut, tidak hanya di Kedah dan Perak tetapi di mana sahaja di negara ini," katanya.

Berhenti rosakkan sumber semula jadi
SAM memberi amaran bahawa kerajaan persekutuan dan negeri tidak boleh dibutakan dengan janji bernilai berbilion dan bertrilion ringgit dalam kaitannya dengan industri nadir bumi, yang dilihatnya sebagai industri kotor dan beracun, sama dengan apa yang diketahui mengenai industri plastik.
 
BACA:
PEKA kecewa K'jaan PN Kedah nak teroka bumi 
 
"Malaysia mesti melihat keutamaannya dengan betul dan meletakkan alam sekitar sebagai perkara penting, dan tidak terus menjarah dan merosakkan sumber semula jadi kita, atas nama menjana kekayaan ekonomi," kata SAM.

Post a Comment

0 Comments