PERTUBUHAN Pelindung Khazanah Alam (Peka) Malaysia kesal dengan hasrat kerajaan negeri mahu meneroka industri mineral baharu, Rare Earth Element (REE).
Presidennya, Puan Sri Dr Shariffa Sabrina Syed Akil berkata begitu susulan pengumuman Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bahawa sebuah syarikat tempatan yang berpangkalan di Kuala Lumpur telah dianugerahkan permit kelulusan bagi meneroka dan mengekstrak sumber mineral jenis ‘rare earth elements’ (REE) di negeri ini.
Tambah Shariffa Sabrina, kawasan cadangan pengekstrakan itu terlampau luas selain ia dipercayai akan turut melibatkan kawasan hutan simpan yang dikhuatiri akan menjejaskan sektor penghasilan makanan di Kedah.
“Adakah tanah-tanah ini berstatus tanah kerajaan atau milik individu? Yang akan menyebabkan kemerosotan pengusahahasilan bahan-bahan mentah makanan sebagai 'food-security' Kedah itu sendiri,” katanya dipetik laporan Sinar Harian.
Tambahnya lagi, berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313) berkaitan Tafsiran serta Seksyen 34, akta sama berkaitan Pengeluaran Permit Penggunaan tidak dinyatakan aktiviti perlombongan boleh dilakukan di dalam kawasan Hutan Simpan Kekal dan sebagai hasil hutan.
Pembalakan berskala besar?
Beliau merujuk ketetepan bahawa aktiviti perlombongan dan kuari di di Cameron Highlands bercanggah dengan ketetapan polisi Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin.
Tambah Shariffa Sabrina lagi, gangguan biodiversiti juga antara aspek yang seringkali diketepikan, walaupun terdapat lebih kurang 20 undang-undang di Malaysia yang mempunyai impak secara langsung dan tidak langsung terhadap pemuliharaan biodiversiti.
“Sebagai contoh, perlombongan besar-besaran di Baotou dan di pendalaman Mongolia, banyak bekalan nadir bumi di dunia disempurnakan dan menyebabkan kerosakan alam sekitar yang besar.
"Akan berlaku pengaktifan radioaktif tahap rendah disebabkan oleh thorium dan uranium (juga penyebab kanser) dalam bijih unsur nadir bumi yang berpotensi berbahaya. Pengendalian bahan-bahan ini secara tidak betul boleh mengakibatkan kerosakan persekitaran yang luas,” katanya.
Shariffa Sabrina berkata, asid kuat yang digunakan semasa proses pengekstrakan REE, yang dilepaskan ke alam sekitar dan diangkut melalui pergerakan air bakal mengakibatkan pengasidan persekitaran akuatik.
“Dibimbangi akan mencemar sumber air manusia, tambahan pula kawasan cadangan itu terdapatnya Empangan Ulu Muda, Pedu dan Ahning yang merupakan sumber air kepada seluruh Kedah dan Perlis, Pulau Pinang dan Perak Utara,” katanya.
“Setelah berada di persekitaran, REE akan diserap ke dalam tumbuhan dan kemudian dimakan oleh manusia dan haiwan,” katanya lagi.
Apa niat sebenar kerajaan Kedah? |
“Apakah niat di sebalik penemuan nadir bumi itu secara mengejut, adakah untuk mengeluarkan kelulusan pembalakan berskala besar? Kita masih tidak belajar daripada apa yang berlaku di Bukit Merah, Perak dan kes bauksit di Kuantan,” katanya.
0 Comments