Jangan pinggir pekerja pembersihan Hospital - AMK


KERAJAAN
  perlu membuat mempertimbangkan semula atas keputusan tidak memberikan bayaran 'one-off' RM300 kepada petugas pembersih hospital.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin berkata, mereka mengambil maklum saranan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil supaya golongan itu diberikan bayaran itu yang ditolak oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Mohd Redzuan Md Yusof.

Tegasnya, petugas pembersihan di hospital turut berdepan risiko jangkitan Covid-19 dan mereka sewajarnya layak untuk menerima pemberian itu.

"Alasan yang diberikan adalah ia merupakan dasar kerajaan bahawa hanya doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang mengendalikan pesakit dan golongan berisiko tinggi Covid-19 layak menerima pemberian 'one-off' itu dan bukannya pembersih hospital.

"Saya yakin Mohd Redzuan tidak faham skop tugas penuh pembersih hospital dan adakah bagi beliau pembersih hospital hanya menyapu hospital sahaja.

"Untuk pengetahuan Mohd Redzuan, pembersih hospital juga berhadapan dengan risiko pelbagai penyakit sebelum Covid-19 melanda. Ini kerana mereka berdepan dengan pelbagai sisa buangan kimia yang merisikokan mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Kesatuan Pekerja Swasta Hospital Kerajaan melahirkan rasa kecewa apabila mereka dipinggirkan.

Melalui satu kenyataan mereka berkata, pada Mac lalu, kerajaan mengumumkan elaun khas RM600, tetapi pekerja pembersih hospital tidak menerimanya kerana diiktiraf sebagai barisan hadapan.

Pendirian kerajaan untuk tidak memberikan bayaran one-off RM300 yang diumumkan kali ini dilihat tidak munasabah dan mengambarkan jasa mereka seolah-olah tidak dihargai.  

"Kita bukan sahaja perlu mengiktiraf bahawa petugas pembersihan hospital ini juga sebagai petugas barisan hadapan, malah kita perlu akui mereka berdepan dengan risiko yang sama tinggi seperti petugas perubatan yang lain.

AMK gesa kaji semula keputusan
"Adalah lebih baik peruntukan yang dilihat membazir seperti penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) serta elaun-elaun di Jabatan Perdana Menteri yang dilihat tiada keperluan ketika pandemik ini disalurkan kepada petugas pembersihan hospital yang setiap hari berhadapan dengan risiko jangkitan wabak Covid-19.

"Belanjawan 2021 sepatutnya lebih tertumpu kepada kesihatan dan pemulihan ekonomi serta peruntukan kepada kesihatan bukan sahaja melibatkan perubatan dan pembangunan infrastruktur malah memberi insentif kepada semua petugas barisan hadapan," tambah Razeef lagi.


 

Post a Comment

0 Comments