Tambak laut jangan sampai jejas golongan nelayan, tegas Anwar


PENGERUSI Pakatan Harapan (HARAPAN) Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu nasib golongan nelayan di Melaka diberi perhatian.

Ketika ditemui media di Klebang semalam, Presiden KEADILAN itu berkata, tidak seharusnya projek tambakan laut di negeri ini berlaku tanpa kawalan sehingga menjejaskan nasib golongan itu.

Tegasnya, perlu ada jaminan daripada kerajaan negeri kepada golongan nelayan bahawa projek seperti itu tidak akan mengancam punca utama mata pencarian mereka.

“Kita dah sebut, tidak boleh ada projek, pasir ke atau penambakan laut ke yang menjejaskan kedudukan nelayan.

"Kalau dia buat, dia mesti ada jaminan untuk nelayan. Saya tengok di Port Dickson, Hotel Alexis dia extend sedikit (ke kawasan nelayan). Itu dia runding dengan nelayan, ganti rugi dengan nelayan.

“Buat (projek) jeti semua tu kena buat. Tapi kalau kepentingan itu hanya demi keuntungan, (itu menunjukkan) dia tak peduli masalah tempatan,” katanya ringkas.

Anwar sebelumnya diminta mengulas mengenai luahan kira-kira 300 nelayan di sekitar perairan Tanjung Kling dan Klebang yang sebelum ini mendakwa tidak mendapat sebarang pampasan daripada projek tambakan laut.

Mereka yang menyuarakan keresahan terhadap projek penambakan laut serta pembinaan jeti pelabuhan sepanjang 600 meter di Tanjung Bruas yang hanya akan mengakibatkan kawasan penangkapan ikan semakin mengecil selain berlaku pencemaran laut.

Komuniti nelayan dari empat jeti iaitu Tanjung Kling, Klebang, Balik Bukit, Pantai Kundur dan Sungai Lereh pula dipetik media sebagai bimbang kehadiran terlalu banyak kapal berhampiran jeti nelayan menyebabkan pukat milik mereka rosak ketika menangkap ikan.

Dalam pada itu, media melaporkan Calon Ketua Menteri Pakatan Harapan Adly Zahari sebagai berkata, HARAPAN akan memberi perhatian khusus kepada pengurusan tambak laut dengan memastikan ianya dilaksanakan secara berhemah sekiranya diberi mandat semula untuk mentadbir negeri.

Jangan nelayan dan rakyat jadi mangsa
“Tambakan laut juga tidak harus menjadi punca banjir. Ianya harus dijalankan dengan teratur mengikut perancangan bagi mengelakkan berlakunya susut nilai serta lebihan terhadap reclaimed land

“Ini termasuklah mengkaji semula keperluan M-Wez (Zon Ekonomi Persisiran Pantai Melaka) kerana projek tersebut turut melibatkan pembangunan di kawasan Selatan Melaka...

“… yang merupakan lokasi perikanan termasuklah penternakan kupang yang menjadi sumber pendapatan para nelayan,” katanya lagi sambil menjelaskan bahawa Melaka tidak akan menjalankan kegiatan menjual pasir sekiranya mereka kembali mentadbir.

Post a Comment

0 Comments