Farhash mahu proses pemilihan selepas ini ditambah baik

 



CALON naib presiden pada Pemilihan parti KEADILAN, Farhash Wafa Salvador meminta supaya Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) mengambil serius bantahan dan pandangan dikemuka pihak yang ragu kepada keputusan pemilihan itu.

Melalui satu kenyataan, beliau yang turut mencabar Amirudin Shari bagi jawatan Ketua Cabang Gombak berkata, bantahan selepas keputusan tidak rasmi disiarkan pada Ahad lalu bukan sahaja disuarakan dari pihaknya tetapi juga oleh ramai calon yang bertanding.

“Ini bukan soal tidak berlapang dada menerima kekalahan, tetapi persoalannya ada berbangkit keraguan atas kemungkinan sistem dan mekanisme pemilihan parti ini telah dikompromi dan berlakunya manipulasi oleh pihak-pihak tertentu.

“Jika dilihat secara kasar pun persoalan terhadap sistem pengundi atas talian (PAT) sudah mendedahkan satu mekanisme dan prosedur yang diragui ketelusannya.

“Di sini, semua undi dikumpul dan dikira oleh JPP yang terdiri dari ahli-ahli parti, lalu diumumkan, tanpa sebarang check and balance,” katanya.

Bekas pembantu kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu turut berkata, ketika 'reformasi' menjadi slogan parti itu, ia harus dipraktikkan dari dalam KEADILAN sendiri.  

Farhash turut mengkritik proses kiraan undi dan berharap ia dapat dijalankan dengan lebih terbuka, dengan keputusan disiarkan secara langsung.

“Kelewatan pengumuman keputusan sehingga beberapa hari selepas pemilihan sedangkan pengundian atas talian sepatutnya lebih memudahkan dan mempercepatkan proses, juga mendedahkan keputusan kepada manipulasi.

“Bayangkan, dalam pilihan raya umum yang melibatkan jutaan rakyat yang mana undi dan kiraan dibuat secara fizikal sahaja pun, keputusannya boleh didapati dalam beberapa jam sahaja,” katanya.

JPP digesa ambik serius aduan dikemuka
Beliau turut mahu pemilihan selepas ini menggunakan sistem pengundian digital yang dibuat pihak ketiga, bukannya oleh ahli parti bagi mengelak ia dimanipulasi pihak tertentu.

“Syor saya supaya pertikaian sebegini tidak berulang dalam pemilihan akan datang adalah supaya sistem pemilihan parti ini benar-benar bebas daripada campur tangan pihak yang berkepentingan.

“Saya amat berharap pihak JPP dan parti mengambil serius pandangan ramai calon yang telah mengemukakan bantahan secara rasmi dan mengambil kira cadangan untuk penambahbaikan,” katanya.
 

Post a Comment

0 Comments