Dr Dzulkefly anggap Zafrul bertindak macam orang 'terdesak'

AHLI PARLIMEN Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad menasihatkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menunaikan janjinya bagi menubuhkan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Lembah Pantai sebelum menabur janji-janji manis baharu.

Dzulkefly yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata begitu susulan tindakan tanduk Zafrul yang seolah-olah mahu bertanding di kawasan parlimen dikuasai Pakatan Harapan (HARAPAN) itu.

Malah tegasnya, tindakan terbaharu senator itu yang pengumuman menjadikan Kuala Selangor sebagai daerah angkat kementerian kewangan dan meluluskan Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) di Puncak Alam adalah tindakan ‘desperado’.

Beliau turut menyatakan rasa bimbang dengan gelagat Zafrul yang menurutnya seakan memberikan sogokan politik.

“Menjadikan Kuala Selangor sebagai ‘daerah angkat’ Kementerian Kewangan, yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Menteri dalam sejarah lebih 60 tahun kerajaan Perikatan dan Barisan Nasional (BN) ternyata beliau sangat ‘desperado’.

"Tanggapan bahawa Zafrul amat cenderung dengan budaya ‘cash is king’ juga menimbulkan rasa khuatir dan kemungkinan terdedah kepada “moral hazard” amalan itu sedangkan negara bercita-cita mahu membanteras amalan salah guna kuasa dan rasuah," jelas Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (AMANAH) itu.

Menurut laporan media, Zafrul dilihat kerap membuat program lawatan di Kuala Selangor sekali gus menimbulkan persoalan kemungkinan dia mungkin akan bertanding di kawasan itu untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Namun disebalik pengumuman Zafrul menjadikan kawasan Parlimen itu sebagai daerah angkat kementerian dikuasainya, Dzulkefly menyatakan rasa optimis rakyat dan pengundi Kuala Selangor tidak akan mudah ‘digula-gulakan’ dengan  sogokan politik dan tindakan membeli sokongan politik.

Sementara itu ketika mengulas kenyataan untuk memberi laluan pelapis muda bertanding menggantikannya di Parlimen itu baru-baru ini,  Dzulkefly  menegaskan bahawa tindakan Zafrul itu tidak akan mengubah rancangan dan pendiriannya itu.

Zafrul nak jadi calon 'payung terjun'?
"Saya khuatir kalau saya berubah pendirian saya kerana ada calon 'payung terjun' bertaraf menteri yang seolah-olah menyatakan hasrat untuk bertanding, kelak saya akan dituduh 'flip-flop' atau cakap tak serupa bikin," katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata dia telah menyatakan hasratnya kepada pemimpin Amanah lebih enam bulan lalu.

Namun dengan perkembangan terbaharu itu, tidak pasti sama ada Pakatan Harapan (HARAPAN) sekali lagi akan meletakkan Dzulkefly berdepan “calon penting” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), meskipun beliau menetapkan hasrat untuk berundur.

Post a Comment

0 Comments