Tun M tak mampu tumbang BN tanpa aura Anwar - Penganalisis


BEBERAPA penganalisis ternama mengkritik tindakan Pengerusi parti Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohammad yang meminggirkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menggerakkan strategi khemah besar.

Dipetik laporan FMT,  Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, sekiranya pendekatan khemah besar mahu dilaksanakan,  Mahathir memerlukan Anwar untuk menumbangkan Umno - Barisan Nasional (BN).

“Mahathir memerlukan Anwar lebih daripada Muhyiddin; momentum itulah yang memacu kemenangan PH dengan Mahathir ketika itu pengerusinya untuk menumbangkan BN-Umno pada 2018.

“Menumbangkan BN/Umno memerlukan kesatuan pelbagai daya kekuatan politik pembangkang dan peranan Anwar bukan berada di pinggiran, tetapi sebagai induknya atau setidak-tidaknya sebahagian daripada induknya,” katanya menurut laporan portal itu.
 
Ahmad Fauzi sebelumnya mengulas kenyataan Mahathir dalam wawancara khas bersama Utusan Malaysia yang menyatakan keengganannya untuk bekerjasama dengan Anwar meskipun mengakui kepentingan kerjasama antara parti pembangkang untuk menumbangkan BN.

Sementara  Azmi Hassan dari Akademi Nusantara pula berkata, Mahathir tidak boleh menganggap auranya sekuat sebelum PRU ke-14 dengan membuat kenyataan berani tidak mahu membabitkan Anwar dan Muhyiddin.

“Jika aura Mahathir (seperti) sebelum PRU14 tiada masalah untuk tidak mengendahkan Muhyiddin dan Anwar, tetapi dalam keadaan sekarang sukar untuk menentukan jika Anwar dan Muhyiddin diketepikan maka aura Mahathir sudah mencukupi untuk menarik parti pembangkang dalam satu khemah,” katanya.

Mengulas lanjut kenyataan Mahathir dalam wawancara itu penganalisis keselamatan dan politik, Noor Nirwandy Mat Noordin pula berkata, kenyataan terbuka Mahathir itu memberi persepsi bahawa beliau mahu menjadi “poster boy” gabungan itu menjelang pilihan raya akan datang.

Anwar ada kekuatan untuk tumbang Umno


“Ia bukanlah strategi baharu kerana dominasi Mahathir dalam politik negara amat besar dan sebagai seorang perdana menteri dua kali sudah tentu beliau tidak mahu jadi orang kedua,” katanya.


Dalam laporan sama, Ahmad Fauzi ketika mengulas keperibadian ketiga-tiga tokoh itu merujuk Anwar sebagai pemimpin berjiwa reformis berbanding Muhyiddin – pemimpin kronisme cetakan Mahathir.

Post a Comment

0 Comments