Balak dicuri: Save Kelantan tuntut k'jaan negeri bertindak tegas


PERTUBUHAN
Save Kelantan menuntut kerajaan negeri pimpinan PAS mengambil tindakan tegas termasuk menyenarai hitam pihak dan syarikat yang dipercayai terlibat dalam kegiatan curi kayu balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Nenggiri.

Pengerusinya, Datuk Husam Musa berkata, kenyataan yang dikeluarkan Save Kelantan berhubung kecurian balak di HSK Nenggiri sebelum ini ternyata benar, pihaknya telah meninjau sendiri perkara itu di lokasi Kuala Betis.

Jelasnya, terdapat kira-kira 43 longgokan balak yang terletak di sebelah kawasan pengumpulan balak itu telah disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.

"Kita datang untuk mengesahkan memang ada kecurian balak. Saya tak tahu cara menganggarkan tetapi mengikut maklumat yang saya dapat, ini hanya satu daripada beberapa longgokan (balak). Ada lagi di dalam HSK Nenggiri di mana balak dikumpulkan dan itu belum dinilai.

"Berapa jumlahnya, di sini, setengahnya nilai ada lebih kurang RM5 juta dan mungkin kalau dicampur kesemua sekali jumlahnya adalah RM8 juta. Satu jumlah yang agak banyak," katanya pada Isnin.

Sementara itu bekas Exco ketika era pentadbiran Almarhum Nik Abdul Aziz bin Nik Mat menegaskan bahawa selaku rakyat Kelantan beliau kesal jika aktiviti ini tidak dikawal.

Beliau bimbang  berkemungkinan besar kawasan hutan yang menempatkan Hutan Simpan Dara (VJR) akan dicerobohi.

Justeru selain mahu kerajaan negeri mengakui wujudnya kegiatan curi balak, sisatan bagi mengenal pasti pihak terbabit juga jelasnya perlu dilakukan.

Save Kelantan bimbang kecurian bakal berleluasa
"Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia masih dalam proses siasatan dan apa yang penting ialah kerajaan negeri, selain mengakui adanya kejadian kecurian, cari siapa pencuri sebenar.

"Sampai hari ini, kerajaan Kelantan tak memberikan penjelasan lanjut, seperti tidak mahu ambil tanggungjawablah. Jadi kami mewakili rakyat Kelantan berasa kesal, kerana jika dibiarkan seluruh kawasan itu akan dicerobohi," katanya.
 

Post a Comment

0 Comments