Oleh: SHAHBUDIN HUSIN | Di sebalik spekulasi yang belum ada jawapannya sehingga kini bahawa Azmin Ali dilaporkan ada bertemu dua pemimpin KEADILAN di Hotel Sheraton, Petaling Jaya baru-baru ini, parti itu malam tadi dengan pantas membuat ketetapan tidak akan berunding atau menjalin sebarang kerjasama dengan beliau.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil, keputusan itu kerana Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dianggap sebagai punca utama berlakunya pengkhianatan Langkah Sheraton.
Tambah beliau, parti juga membuat keputusan agar saf kepimpinan baru ini perlu bergerak pantas, sederap dan dalam satu pasukan yang kukuh bagi menghadapi musuh-musuh politik Keadilan pada PRU15 akan datang.
Beberapa hari lalu media melaporkan Azmin dikatakan bertemu dengan dua pemimpin KEADILAN di Hotel Sheraton, Petaling Jaya.
Pertemuan itu segera menimbulkan spekulasi kebarangkalian untuk mewujudkan kerjasama antara beliau dengan KEADILAN atau kemungkinan dianya kembali semula ke pangkuan parti demi survival politik masa depannya.
Azmin bagaimanapun tidak menafi dan tidak juga mengesahkan berlaku pertemuan itu, sebaliknya hanya mengatakan beliau tidak ingat hotel mana yang dikunjunginya dan siapa ditemuinya pada minggu lalu.
“Sheraton Hotel? Saya pergi banyak hotel, saya tidak ingat hotel yang mana,” katanya ringkas.
Nampak sangat Azmin sebenarnya cuba berselindung kerana mustahil beliau tidak ingat siapa pemimpin KEADILAN yang ditemuinya di sebuah hotel pada minggu lalu.
Mungkin boleh diterima akal kononnya beliau tidak ingat jika hotel yang dikunjunginya dan orang KEADILAN ditemuinya sepanjang minggu lalu melebihi 100 orang jumlahnya.
Jika hanya ada dua pemimpin KEADILAN yang ada berjumpanya pada minggu lalu dan hotelnya pun satu saja, mustahil beliau tak boleh ingat?
Agak-agaklah kalau ia pun nak membohong dan menipu orang ramai.
Apa pun jawapan Azmin dan sama ada pertemuan beliau dengan dua pemimpin KEADILAN itu betul-betul berlaku atau sebaliknya, keputusan MPP parti malam tadi adalah paling tepat dan wajar sekali kerana sudah sampai masanya Azmin dilupakan begitu saja.
Pengkhianatannya tidak harus dimaafkan, jauh sekali ada kewajaran bagi KEADILAN memberinya sebarang ruang untuk menumpang bagi tujuan beliau mengekalkan lagi kerusi Parlimen Gombak yang sedang disandangnya.
Selepas ini jangan ada lagi mana-mana pemimpin KEADILAN yang cuba berjumpa atau berunding dengannya. Keputusan malam tadi mestilah muktamad dan “tutup buku” buat Azmin.
Azmin yang kini bersama Bersatu harus dibenam karier politik masa depannya dengan KEADILAN sebaik-baiknya segera mengenalpasti calon berwibawa yang boleh merampas kembali kerusi Parlimen Gombak.
Dengan bekas Menteri Besar Selangor, Dr. Khir Toyo sendiri mengakui Pakatan Harapan (HARAPAN) masih ada kekuatan yang sukar dikalahkan di Selangor, tambahan lagi Parlimen Gombak adalah kerusi separa bandar yang memiliki pengundi campuran, Azmin dalam hal ini pasti sangat sedar awam hitam lebih menyelubungi kariernya ketika ini.
![]() |
Azmin dianggap 'pengkhianat' oleh ahli KEADILAN |
Maka itu, KEADILAN tidak harus berlengah dalam menyusun langkah dengan penuh keyakinan untuk merampas kerusi Parlimen Gombak, seterusnya menghukum karier seorang pengkhianat biar mereput bersama dosa pengkhianatannya selepas PRU15 nanti.
SHAHBUDIN HUSIN ialah penganalisis isu semasa, bekas wartawan di tahun 80an hingga 90an dan juga penulis buku.
Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan ia tidak semestinya mencerminkan pendirian KartelMedia
0 Comments