AMK gerak flashmop, bantah percaturan politik ketika rakyat catu makan

SEKUMPULAN anggota Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mengadakan flashmob bagi membantah kenaikan mendadak harga barangan asas yang semakin tidak terkawal kebelakangan ini.

Mereka berkumpul di sepanjang kaki lima Majlis Bandaraya Klang dengan menaikkan sepanduk membantah kegagalan kerajaan menangani kenaikan harga barangan asas, terutamanya ayam dan minyak masak.

Jurucakap kumpulan tersebut Danish Khairudin berkata, flashmob itu membabitkan anggota KEADILAN Klang, Kapar dan Kota Raja yang bertujuan mencetuskan kesedaran terhadap ketidakupayaan kerajaan pimpinan Ismail Sabri Yaakob dalam menangani kenaikan harga.

"Ini adalah flashmob pertama kami di Selangor. Semalam ada flashmob di Pulau Pinang untuk meningkatkan kesedaran dan menggalakkan orang ramai bersuara mengenai perkembangan semasa.

“Saya yakin gelombang ini akan bergerak apabila rakyat berada dalam tekanan yang hebat.

"Kita harus melihat ini sebagai tekanan positif daripada rakyat. Tanpa tekanan, kerajaan akan sentiasa leka," kata Danish seperti dipetik laporan Malaysiakini.

Sementara itu Ketua Pemuda KEADILAN Klang Mohd Shahril Adnan menggesa ahli politik yang memegang kuasa untuk menghentikan permainan politik dalaman mereka dan berkhidmat kepada rakyat, dipercayai merujuk kepada pertikaian antara Umno dan Bersatu.

Makin hari rakyat semakin tertekan
“Rakyat sedang bergelut untuk mencatu makanan mereka sedangkan mereka (ahli politik) sibuk mengatur langkah mereka sendiri,” katanya.

Kenderaan yang lalu di kawasan tersebut turut membunyikan hon mereka sebagai tanda sokongan terhadap protes itu.

Post a Comment

0 Comments