Terima keputusan pemilihan dengan hati terbuka - Anwar


PROSES pengundian semula secara fizikal bagi Pemilihan KEADILAN 2022 melibatkan enam bahagian di empat negeri semalam selesai.

Sehubungan itu, keputusan tidak rasmi peringkat kebangsaan dan cabang dijangka akan dipaparkan di laman web rasmi parti itu hari ini.

Di Selangor, proses pengundian semula bahagian tunggal di Selangor iaitu Hulu Selangor selesai tanpa sebarang provokasi atau pertelingkahan.

Koordinator Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) Selangor, Mazli Saring, berkata seramai 1,937 ahli parti, telah menjalankan kewajipan mereka sejak 9.15 pagi di Dewan Orang Ramai Kalumpang, Kerling di sini.
 
Di Terengganu, proses pengundian semula melibatkan tiga bahagian iaitu Kemaman, Dungun dan Marang juga berjalan lancar tanpa sebarang masalah.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Azan Ismail, berkata pengundian semula di bahagian Marang  hanya melibatkan pemilihan calon bagi jawatan utama di peringkat pusat sahaja.

“Ini kerana calon bagi jawatan peringkat bahagian Marang telah pun menang tanpa bertanding pada 13 Mei lepas. Suasana di pusat pemilihan Dewan Koperasi Desa Kampung Alor Limbat sangat tenang, dengan kebanyakan ahli datang secara berperingkat sejak 9 pagi.

Di Kedah pula dipetik laporan Bernama, meskipun berlaku sedikit pertengkaran, namun proses pengundian bagi bahagian Padang Serai berjalan lancar.

Koordinator JPP Kedah, Rashid Din, berkata kekecohan berlaku, disebabkan tindakan yang didakwa sebagai cubaan menarik pengundi oleh pihak tertentu, sehingga menyebabkan pihak lain tidak berpuas hati.

“Terdapat sedikit perang mulut antara penyokong di khemah di luar pusat pengundian, namun dapat diredakan beberapa minit kemudian dan proses pengundian berjalan semula dengan lancar,” katanya menurut agensi berita itu lagi.

Sementara itu di Sabah, pengundian semula bagi bahagian Pensiangan di Rumah Panjang Kampung Malampoi, Nabawan dan Rumah Inap Desa Gardan Keningau, juga berjalan dengan lancar.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua calon bertanding menerima keputusan akan diumumkan esok dengan hati terbuka.

Masa untuk bina semula kekuatan parti
“Kita (KEADILAN) nak rangkul kembali kekuatan bersama,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Raya Mat Moto 1.0 di Port Dickson semalam.

Pemilihan KEADILAN 2022 akan memasuki episod seterusnya dengan pencalonan bagi pemilihan 20 ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian mulai esok hingga 31 Mei ini.

Post a Comment

0 Comments