Saifuddin ucap tahniah buat Rafizi, hormat keputusan ahli parti

 

CALON Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengucapkan tahniah kepada pencabarnya, Mohd Rafizi Ramli yang kini mendahului dalam undian pemilihan parti itu.

Ucapan tahniah itu disampaikan Saifuddin melalui coretan di Facebook peribadinya pada Ahad dengan menyatakan beliau menghormati keputusan yang dibuat anggota parti itu.

“Jawatankuasa Pemilihan Parti telah paparkan keputusan pemilihan pada hari ini. Biarpun belum dikira keputusan resmi, namun saya telah mengutus ucap tahniah kepada Rafizi Ramli, Nik Nazmi (Nik Ahmad), Chang Li Kang dan lain-lain pemenang.

“Sikap saya mudah dan jelas. Hormat keputusan yang dibuat oleh anggota-anggota parti. Amalan demokrasi menentukan ada yang terpilih dan ada yang tidak. Jangan sesekali carikkan silaturrahmi.

“Sentiasa jaga perpaduan sesama anggota parti. Insya-ALLAH, KEADILAN akan terus kuat,” katanya.

Setakat pukul 8.30 malam, keputusan tidak rasmi untuk 13 negeri melibatkan 190 cabang menyaksikan Mohd Rafizi memperolehi 64,423 undi dengan kemenangan besar di banyak negeri termasuk yang pernah dikuasai Mohammed Azmin Ali- pencabarnya yang memenangi jawatan itu pada pemilihan sebelum ini.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Kulim Bandar Baru menang di Perlis dan Sabah, namum jauh di belakang dengan mendapat 47,140 undi ketinggalan 17,283 undi.

Sementara itu dalam isu berkaitan, aktivis mahasiswa Adam Adli mendahului bagi jawatan ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) selepas memperoleh 7,545 undi di empat negeri melalui keputusan tidak rasmi.

Rafizi dan Saifuddin dianggap kekuatan parti
Saingan Adam bagi jawatan itu, Ketua AMK Pulau Pinang, Fahmi Zainol, mendapat 7,001 undi.

Pada 2011, Adam mula mendapat perhatian kerana tindakannya menurunkan bendera memaparkan gambar perdana menteri ketika itu, Najib Razak, di ibu pejabat Umno.

Beliau menggantikan bendera itu dengan bendera berslogan kebebasan akademik, yang disifatkannya sebagai ‘ekspresi diri’.


 



Post a Comment

0 Comments