Rafizi anggap mandat sebagai 'hutang' kepada ahli KEADILAN

 


TIMBALAN Presiden KEADILAN yang baharu, Mohd Rafizi Ramli menyampaikan penghargaan terima kasih kepada ahli parti itu yang telah memberinya mandat kepadanya pada Pemilihan yang diadakan minggu lalu.

Melalui satu kenyataan, bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau merasa terhutang budi kepada semua ahli parti itu.

Sambil mengakui terkejut dengan keputusan yang menyaksikan beliau mendapat mandat cukup besar, Rafizi berkata kemenangan itu bukanlah sebab anggota akar umbi lebih sukakannya berbanding pencabar, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

"Dalam sejarah pemilihan Keadilan sejak penubuhannya, tidak pernah calon seorang timbalan presiden mendapat mandat yang sebegini besar – selain daripada undi popular hampir 60 peratus, lebih 80 peratus daripada semua cabang di seluruh negara telah meletakkan amanah sebagai timbalan presiden kepada saya.

"Saya hanya seorang anggota biasa yang tidak berjawatan dan banyak kelemahan sendiri. Anggota akar umbi memberikan mandat sebegitu besar kerana mereka mahu parti ini kembali kepada landasan reformasi yang membentuk parti.

“Saya faham bahawa seperti mana mereka memberi mandat kepada saya, mereka juga boleh menarik mandat itu sekiranya keputusan dan tindak tanduk saya selepas ini tidak mencerminkan aspirasi mereka,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan jawatankuasa pemilihan pusat parti itu, Rafizi menewaskan Saifuddin yang juga merupakan setiausaha agung KEADILAN.

Setakat undi yang dikira Rafizi memperoleh 67,895 undi, meninggalkan Saifuddin dengan perbezaan 17,283 undi.

Bagaimanapun keputusan rasmi mengenai pemilihan itu hanya akan diumumkan pada kongres nasionalnya Jun ini.

Dalam kenyatan sama, Rafizi menganggap mandat diberikan sebagai hutang yang perlu dibayar dengan kemenangan pada pilihan raya.

“Saya dan rakan-rakan yang diberi mandat dalam pemilihan ini tidak mampu membalas jasa dan penat lelah anggota akar umbi di seluruh negara.

“Jasa itu akan kekal sebagai hutang dan Insya-Allah saya akan sentiasa ingat bahawa hutang itu hanya akan langsai apabila kita berjaya membawa perubahan politik di negara ini sekali lagi,” katanya.

Rafizi terhutang budi kepada ahli parti
Dalam perkembangan berkaitan, Rafizi berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat bagi memulakan proses menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“KEADILAN akan kembali kuat apabila keseluruhan anggota dari akar umbi ke presiden bergerak dengan satu strategi dan masing-masing melaksanakan tugasan kita dengan berkesan,” katanya lagi.

Post a Comment

0 Comments