NGO bimbang mansuh AP bakal ‘bunuh’ petani, penternak tempatan


SEORANG wakil NGO berkaitan makanan mengkritik tindakan drastik kerajaan memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Koordinator Forum Kedaulatan Makanan Malaysia Nurfitri Amir Muhammad berkata, pemansuhan AP sememangnya wajar bagi mengelakkan monopoli syarikat tertentu, namun implikasi jangka panjang lebih besar apabila ia dijangka memberi kesan buruk kepada petani dan penternak tempatan.

“Masalah yang sering terjadi kepada petani cili atau lada umpamanya dalam beberapa tahun lepas, mereka tidak dapat menjual hasil sebab import terlalu banyak, begitu juga dengan isu penternak dan tanaman lain,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Nurfitri berkata, apabila berlaku lambakan produk pertanian, kumpulan paling rugi adalah petani dan penternak tempatan kerana kebiasaannya barangan import akan menjadi lebih murah.

“Saya lebih bimbang melihat kesan jangka panjang kerana apabila petani dan penternak terhapus, tak berniaga dan keluar daripada sektor pertanian, susah kita nak dapat petani baharu,” katanya.

Kerajaan memutuskan untuk menghapuskan syarat AP bagi mengimport sebarang bahan makanan berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dicapai bagi memastikan bekalan makanan dalam negara mencukupi.

Mengulas lanjut, Nurfitri berkata, kualiti makanan import juga dijangka menjadi persoalan susulan pemansuhan itu yang akan menyaksikan lebih banyak pengusaha menjalankan aktiviti pengimportan.

Apa jaminan petani tempatan tak terjejas


“Siapa nanti akan kawal kualiti makanan tersebut, halal ke tak halal? Mudah untuk import tetapi perlu berhati-hati, takut tidak ada kualiti,” katanya.


Malah beliau mempersoalkan sebaik krisis tamat, apakah negara masih akan  sentiasa bergantung kepada bekalan import. 

Post a Comment

0 Comments