PENGUMUMAN kerajaan 'keluarga Malaysia' pimpinan Ismail Sabri Yaakob bahawa tiada lagi lesen import (AP) dikenakan bagi mengimport bahan makanan diangga bukan penyelesaian kepada krisis harga makanan.
Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin dipetik berkata, keputusan yang dicapai kerajaan dalam mesyuarat kabinet itu cuma satu tindakan popular.
"Pemansuhan AP import makanan tidak akan mencapai matlamat mengurangkan kos harga makanan sebab hanya melibatkan empat jenis makanan sahaja.
Kerajaan seharusnya memahami dengan lebih dalam Industri pertanian dan rantaian makanan.
"Dasar yang memansuhkan AP walaupun dinampak popular, tapi tidak akan menyelesaikan masalah kos makanan jika kerajaan tidak meningkatkan kapasiti pengeluaran makanan para petani, nelayan dan penternak domestik," katanya.
Ismail Sabri pada Rabu mengumumkan tiada lagi AP dikenakan bagi mengimport bahan makanan berkuat kuasa serta merta.
Barang yang diberi kelonggaran adalah kubis bulat, kelapa tua biji, ayam (keratan ayam dan ayam bulat) dan susu cair.
Bagaimanapun, AP import beras masih berkuat kuasa.
Namun, Sim berpendapat bahawa punca kenaikan harga makanan sebenarnya adalah kebergantungan kepada pengimportan makanan.
Sampai bila nak bergantung kepada import |
"Pada pendapat saya, kerajaan seharusnya meningkatkan kapasiti negara kita sendiri untuk mengeluarkan makanan untuk memenuhi keperluan 32 juta rakyat dalam negara kita yang dipanggil kedaulatan makanan," kata bekas timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu.
0 Comments