Saksi mengaku UKSB taja perbelanjaan peribadi Zahid


SEORANG
saksi dalam kes dakwaan rasuah membabitkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) menaja pemimpin Umno itu.

Harry Lee Vui Khun yang merupakan bekas pengarah UKSB berkata, penajaan melancong ke luar negara, sambutan ulang tahun isterinya dan hari raya.

jelasnya seperti dipetik media, penajaan itu merupakan keutamaan sumbangan bulanan daripada syarikat tersebut dari 2014 hingga 2018.

“Terdapat juga beberapa bulan kami tidak membuat bayaran tetapi kami telah menggandakan bayaran pada bulan berikutnya untuk menampung bulan yang kami terlepas.

“Secara peribadi saya tidak menyimpan rekod pembayaran itu, namun saya tahu David Tan (pengurus pentadbiran UKSB dari 2012 hingga 2018) menyimpan lejar mengenai bayaran bulanan itu yang ditunjukkannya kepada saya dari semasa ke semasa,” katanya ketika membaca pernyataan saksi dalam pemeriksaan utama oleh timbalan pendakwa raya Abdul Malik Ayob.

Saksi pendakwaan ke-15 itu sebelum ini juga mengesahkan bahawa UKSB telah menyerahkan wang tunai secara bulanan berjumlah antara SGD200,000 dan SGD520,000 kepada Zahid.

Penyerahan wang itu berlaku dari 2014 kepada 2018 berhubung kontrak sistem Visa Luar Negara (VLN).

Bekas timbalan setiausaha bahagian hal ehwal Imigresen, Kementerian Dalam Negeri, Siti Jalilah Abd Manap yang merupakan saksi ketiga pendakwaan telah memberitahu mahkamah, Zahid telah melanjutkan kontrak UKSB bagi projek VLN meskipun kontrak sedia ada sah untuk tempoh tiga tahun lagi.

UKSB dilapor taja percutian Zahid
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta daripada UKSB ketika menjadi Menteri Dalam Negeri untuk melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti (OSC) di China dan membekalkan sistem VLN serta mengekalkan perjanjian kontrak bagi membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa meminta SGD1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan USD15,000 daripada syarikat sama yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau.

Beliau didakwa melakukan semua kesalahan itu di Seri Satria, Presint 16, Putrajaya serta Country Heights Kajang antara Oktober 2014 dan Mac 2018.

Post a Comment

0 Comments