Selama ini k'jaan tak pantau kualiti pelitup muka? - Syed Saddiq

PRESIDEN Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan keputusan kerajaan menetapkan syarat supaya pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan mendapatkan perakuan dan penandaan MS SIRIM.

Dalam kenyataan pada Khamis, Ahli Parlimen Muar itu mempersoalkan apa sebenar tujuan arahan itu dan mengapa syarat itu ditetapkan kerajaan setelah rakyat menggunakan pelitup muka tanpa perakuan Sirim sejak awal pendemik Covid-19 lalu.

"Apa sebenarnya tujuan arahan ini dibuat sebegini lambat?

"Adakah selama ini kerajaan tidak memantau kualiti pelitup muka yang dijual di pasaran dari tahun 2020-2022?" katanya.

Pada Selasa, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata, penandaan MS SIRIM hendaklah diperoleh pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd, iaitu pihak berkuasa yang dilantik kementerian.

Pewartaan itu dibuat dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan), di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang menurutnya berlandaskan prinsip semangat Keluarga Malaysia dalam usaha menjaga kesejahtraan rakyat di samping melindungi kepentingan pengguna.

Bagaimanapun keputusan kerajaan itu dikritik orang ramai sehingga kerajaan akhirnya menagguhkan pelaksanaanya ke 1 Januari 2023.

Syed Saddiq  turut membangkitkan isu kos untuk mendapatkan perakuan SIRIM itu sudah tentu akan menelan belanja tinggi sekali gus menjadi alasan untuk pembekal menaikkan harga.

"Dua hari lepas, arahan supaya pelitup muka perlukan perakuan SIRIM tular. Saya difahamkan arahan ini terpakai kepada mana-mana orang yang membekalkan pelitup muka dan ia bermaksud pembekal kena lalui proses ini.

"Adakah selepas ini kerajaan berniat untuk menetapkan harga siling pelitup muka? Sekarang hanya ada harga siling 70 sen untuk pelitup muka tiga lapisan.

"Kos untuk mendapatkan perakuan SIRIM ini pasti akan menjadi satu alasan untuk pembekal menaikkan harga 'face mask' di pasaran. Kerajaan perlu berhati-hati dan bertanggungjawab," katanya lagi.

Sementara itu, warganet dilihat masih tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan itu walaupun ia ditangguhkan.

Seorang pengguna  Twitter, @faizalhamssin dipetik laporan Malaysiadateline berkata, ia akan menambah beban kepada para peniaga yang akan menyalurkannya kepada pengguna.

Katanya, jika empat orang ahli keluarga memakai tiga pelitup muka sehari, dianggarkan mereka memerlukan 360 pelitup muka sebulan.

Jika kos pelitup muka berharga RM0.50 (kerana jenama pelitup muka yang mempunyai SIRIM tentulah mahal), maka keluarga itu terpaksa mengeluarkan sejumlah RM180 sebulan hanya pada pelitup muka.

Lebih pelik katanya Negara-negara di seluruh dunia secara beransur-ansur sudah menarik balik arahan memakai pelitup muka, sementara kerajaan menjadikannya lebih rumit kepada rakyat.

Ada juga pengguna yang menyindir penguatkuasaan itu dan mengaitkan dengan angka kes Covid-19.

Arahan k'jaan dikritik orang ramai
“Oh baru ku tahu. Kes banyak sekarang ni sebab pakai ‘face mask’ tak berkualiti. Rasanya lepas pakai pelitup muka ada cop SIRIM, kes akan menurun dan jadi kosong mungkin?,” tulis pengguna @ashelaaaaaaa

“Kapitalis ekonomi punya kerja je sebenarnya ni. Nak cop SIRIM bagai. Selama tempoh pandemik dulu tak ada pun kisah tentang kualiti SIRIM ni. Janji pakai sudah. Haisshh yang kaut untung mereka dan keluarga mereka,” ciap pengguna lain.