AHLI PARLIMEN Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar menggesa agar kerajaan mengkaji semula kemasukan fasal pembolehan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti.
Nurul Izzah melalui ciapan di laman Twitternya berkata, beliau ragu-ragu dengan niat baik kerajaan membentangkan RUU itu yang akhirnya memungkinkan ia memberi kuasa yang luas untuk kerajaan menyekat kebebasan berperpersatuan.
"Berapa banyak daripada pindaan ini bergantung kepada niat murni dan niat baik kerajaan? Jika hanya itu semuanya disandarkan, maka ia sangat rapuh.
"Ia memberi kuasa kerajaan persekutuan selama-lamanya untuk melucutkan kerusi ahli parlimen. Kita perlu menyemak semula strategi perundangan ini," katanya.
Nurul Izzah mengulas komen peguam, New Sin Yew bahawa pindaan Perlembagaan yang akan berlaku adalah “berbahaya”.
New sebelumnya dilapor berkata, klausa baharu Perlembagaan tidak menghalang orang daripada melompat parti, sebaliknya ia memberi kawalan penuh kepada kerajaan ke atas parti politik lain.
Katanya, kerajaan sepatutnya meminda Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan membabitkan keahlian Ahli Parlimen juga.
Tambahnya, meminda peruntukan berhubung kebebasan berpersatuan di bawah Perkara 10 Perlembagaan tanpa meminda Perkara 48 akan menyebabkan undang-undang anti lompat parti tidak berperlembagaan.
“Pada dasarnya, cadangan pindaan itu akan menyebabkan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri hilang kebebasan berpersatuan apabila membabitkan keahlian dalam parti politik. Ini sangat berbahaya kerana kerajaan mempunyai lebih banyak kuasa mengawal parti politik.”
Terdahulu Ahli Parlimen Subang Wong Chen, berkongsikan salinan rang undang-undang itu akan meminda Artikel 10 perlembagaan - yang mengabadikan kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan.
![]() |
Nurul Izzah gesa semak semula terma RUU |
Perkataan subfasal itu berbunyi: "(3A) Walau apa pun perenggan (c) Fasal (2) dan Fasal (3), sekatan ke atas hak untuk menubuhkan persatuan yang diberikan oleh perenggan (c) Fasal (1) yang berkaitan dengan keahlian dalam parti politik ahli Dewan Rakyat dan ahli Dewan Undangan Negeri juga boleh dikenakan oleh undang-undang persekutuan.”
0 Comments