Apakah kos jemaah haji akan kekal atau naik, soal Salahuddin


KERAJAAN
Ismail Sabri Yaakob didesak menyatakan secara tuntas berapakah kadar subsidi yang akan diberikan kepada jemaah haji pada tahun ini.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub  setelah Tabung Haji (TH) memaklumkan kos untuk menguruskan jemaah haji negara ini meningkat sebanyak 12 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan bagi setiap seorang mencecah kira-kira RM25,000.

Menurut Salahuddin, ketika ini kadar sebenar subsidi yang akan ditanggung kerajaan masih tidak dinyatakan oleh mana-mana pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad.

"Kerajaan digesa untuk menyatakan adakah kadar bayaran sebanyak RM9,980 untuk setiap jemaah haji seperti tahun-tahun lalu akan dikekalkan atau sebaliknya.

"Oleh itu, saya menggesa kepada pihak Lembaga Tabung Haji (TH) dan kerajaan agar segera menyatakan berapakah kadar subsidi yang boleh diperuntukkan kepada jemaah haji pada tahun ini," katanya dalam kenyataan media.

Idris yang bertanggungjawab berkenaan soal agama sebelum ini memberitahu, jemaah haji yang pergi ke Tanah Suci melalui TH tetap akan diberikan subsidi. Namun ahli parlimen PAS itu tidak menyatakan berapakah jumlah subsidi yang akan dikeluarkan.
 
Pada 31 Mac lalu Idris juga ada memberitahu Dewan Negara bahawa kos mengerjakan haji di negara ini tidak pernah berubah sejak 2009. Ia mencetuskan kebimbangan bahawa setiap jemaah perlu mengeluarkan lebih banyak belanja bagi mengerjakan haji pada musim ini.

Sementara itu dalam gesaannya, Salahuddin  berkata kerajaan juga bertanggungjawab untuk menjelaskan segera jumlah kuota menunaikan haji yang diperuntukkan untuk Malaysia.

Salahudin mahu tahu jumlah sebenar subsidi
Beliau turut merujuk kenyataan Idris bahawa Arab Saudi masih belum memberitahu jumlah kuota yang diberikan kepada Malaysia walaupun menjanjikan maklumat tersebut sebelum Ramadan.

"Justeru saya mencadangkan kerajaan mengutamakan jemaah haji yang belum pernah menunaikan haji bagi memenuhi kuota yang diperuntukkan," katanya dipetik.

Post a Comment

0 Comments