BEKAS Perdana Menteri, Najib Razak didakwa "takut" untuk berdebat dengan Rafizi Ramli mengenai isu kewangan Sapura Energy Berhad apabila meletakkan syarat tertentu.
Dakwaan itu dibuat Rafizi selepas Najib berkata dia bersedia berdebat dengan Rafizi tetapi mahu Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim turut menyertai debat berkenaan.
"@NajibRazak sebenarnya takut nak berdebat. Jadi dia cari alasan bagi syarat mintak heret @anwaribrahim sekali, sebab dia ingat Presiden KEADILAN pun takut berdebat dengan dia," kata Rafizi dalam satu kenyataan di Twitter.
Mengulas lanjut mengenai perdebatan itu, Rafizi berkata dia sedia untuk menyampaikan cabaran itu kepada presiden KEADILAN.
"In Sha Allah saya sampaikan kepada @anwaribrahim dan kita sama-sama tengok alasan & syarat baru apa pula Najib nak bagi," katanya lagi.
Terdahulu, Najib berkata dia bersedia untuk berdebat sendirian dengan Rafizi disertai Anwar.
Melalui kenyataan di Facebooknya, Ahli Parlimen Pekan itu berkata sekiranya Anwar enggan Rafizi boleh berdebat dengan Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil yang merupakan bekas pembantu Najib semasa dia menjadi perdana menteri.
Najib juga berkongsi hantaran Isham yang menyatakan Rafizi bukanlah calon yang sesuai untuk berdebat dengan bekas presiden Umno itu.
![]() |
Apakah debat Rafizi- Najib akan berlangsung? |
Dalam satu keyataan baru-baru ini Rafizi meletakkan keyakinan bahawa syarikat itu boleh diselamatkan oleh kepimpinan baharu Sapura.
Beliau turut menggesa rakyat meletakkan kepercayaan kepada pasukan itu, namun tidak pada Najib.