KINI timbul tanda tanya mengenai siapa sebenarnya yang memulakan usaha mewujudkan kerjasama antara parti pembangkang dengan Perikatan Nasional (PN).
Ia setelah Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yassin mendedahkan bahawa beliau berjumpa beberapa pemimpin politik bagi merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah didatangi beberapa pemimpin termasuk Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) setelah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selesai.
“Selepas PRN Johor, saya didatangi oleh beberapa orang pemimpin parti politik termasuk daripada Parti Pejuang. Mereka menyuarakan pandangan kepada saya bahawa lebih baik parti-parti selain Barisan Nasional (BN) merintis suatu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU15.
“Mereka sedar bahawa majoriti rakyat tidak menyokong Barisan Nasional yang masih terpalit dengan imej kleptokrasi, tetapi oleh kerana berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti-parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.
“Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak oleh majoriti rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.
Pada Jumaat, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa Muhyiddin berjumpanya untuk meminta sokongan dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi.
Bagaimanapun bekas penasihat parti Bersatu itu berkata, beliau tidak diberitahu mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu yang pernah 'menikamnya dari belakang' meminta sokongannya.
“Saya tak tau nak kata apa, (tetapi) saya tak jadi Perdana Menteri kerana Muhyiddin lah, dia tikam belakang. Jadi saya tak dapat jadi Perdana Menteri, sekarang ini dia nak minta tolong orang (yang) dia (pernah) tikam belakang, tetapi tak mati lagi,” kata Mahathir dalam sidang media di Putrajaya.
![]() |
Mahiaddin berminat jadi PM lagi |
Bagaimanapun, beliau mengakui sudah memberikan kata putus untuk menolak permintaan tersebut selepas apa yang berlaku sebelum ini.