Pulang aset USD10 juta, apakah SPRM akan dakwa Rohana?

 


PENGERUSI DAP kebangsaan, Lim Guan Eng menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan sama ada bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) Astro Rohana Rozhan akan didakwa.

Dipetik laporan FMT, bekas menteri kewangan itu membangkitkan persoalaan tersebut setelah terdapat tanda menunjukkan wanita itu menyembunyikan maklumat mengenai skandal 1MDB.

Guan Eng berkata, bekas pegawai bank Goldman Sachs Tim Leissner memberi keterangan di mahkamah bahawa Rohana memeras ugutnya.

“Kini terdapat laporan bahawa dia bersetuju untuk memulangkan USD10 juta kepada pihak berkuasa,” katanya. “Saya berharap ini bukan penamat cerita.” kata Guan Eng.

Terdapat laporan yang mendakwa Rohana menjalin hubungan selama 10 tahun dengan Leissner, yang merupakan saksi pihak pendakwaan dalam perbicaraan seorang lagi bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng di Amerika Syarikat (AS).

Dalam keterangannya Leissner berkata, dia membelikan Rohana sebuah rumah berharga USD10 juta di London pada 2013 selepas wanita itu mengugut untuk mendedahkan penglibatannya dalam 1MDB.

Lim berkata, keterangan Leissner menunjukkan bahawa Rohana berperanan dalam skandal 1MDB.

“Dia mempunyai maklumat berkaitan skandal 1MDB tetapi menyembunyikan bukti.

“SPRM sepatutnya mendakwanya atau sekurang-kurangnya mendedahkan jika dia akan didakwa.”katanya.

Adakah Rozana sembunyikan bukti?
Katanya, ini adalah antara sebabnya mengapa ramai yang percaya bahawa pihak berkuasa bersikap selektif dalam pendakwaannya.

Febuari lalu, SPRM memanggil Rohana selepas wanita itu menyatakan kesediaan untuk membantu pihak berkuasa melakukan siasatan.
 
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki pada Rabu berkata, ia masih lagi menyiasat kes Rohana.