Pengumuman SPRM jejas kehormatan Hakim Mohd Nazlan -Syahredzan


AHLI jawatankuasa eksekutif DAP Syahredzan Johan mengkritik pengumuman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa mereka kini menjalankan siasatan terhadap hakim Mahkamah Rayuan Mohd Nazlan Mohd Ghazal.

Syahredzan yang juga adalah seorang peguam berkata, tindakan SPRM itu telah menjejaskan kehormatan Mohd Nazlan yang menjatuhkan sabitan bersalah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dalam kes SRC International itu.

Malah pengumuman yang dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki itu kata Syahredzan telah memberikan peluru buat pihak yang tidak bersetuju dengan Nazlan untuk menyerangnya.

Sebagai seorang hakim, Mohd Nazlan jelasnya tiada cara untuk mempertahankan diri dan menjawab dakwaan terhadap mereka menerusi kenyataan media.

"Ketepikan isu jika ada mekanisme lain yang boleh digunakan, Azam tidak sepatutnya mengumumkan secara terbuka bahawa SPRM sedang menyiasat hakim Nazlan," katanya.

Beliau turut mengingatkan Azam bahawa dia sepatutnya menunggu sehingga siasatan menunjukkan ada kes prima facie terhadap Nazlan sebelum mengesahkan siasatan tersebut.
 
"Maka, pengumuman Azam akan dilihat sebagai kata-kata terakhir berkenaan isu ini, tanpa sebarang respons daripada Nazlan," katanya lagi.

Dalam pengumumannya, Azam berkata siasatan itu adalah sebahagian daripada prosedur apabila laporan dibuat.

Ia berhubung dakwaan portal Malaysia Today milik blogger Raja Petra Kamaruddin yang mendakwa Nazlan mempunyai "kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya".

Mohd Nazlan telah membuat laporan polis berhubung dakwaan yang dianggapnya tidak benar dan berniat jahat itu.

Sebelum ini siasatan terhadap Mohd Nazlan menarik perhatian beberapa pemimpin. Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap pengumuman siasatan itu sebagai cubaan memberi tekanan dan campur tangan politik dalam institusi kehakiman.

“Adalah dikhuatiri hebahan sebegini akan dianggap sebagai tekanan dan campur tangan politik.

“Ini ditetapkan untuk memastikan agar wujud pembahagian kuasa yang jelas di dalam sistem yang ada. Justeru, campur tangan SPRM melanggar prinsip ini,” katanya.

Pemuda Amanah dan Peguam Muda Amanah pula menyifatkan sebab yang dinyatakan SPRM berkenaan siasatan itu sebagai " lemah, tidak berasas dan mengelirukan".

"Tidak salah untuk umum beranggapan bahawa siasatan yang sedang dijalankan ke atas Nazlan ini adalah suatu bentuk intimidasi eksekutif ke atas badan kehakiman," kata exco Pemuda Amanah Fadhli Umar Aminolhuda.

Hakim Nazlan tiada ruang jawab dakwaan
Pengerusi Peguam Muda Amanah itu juga membangkitkan Seksyen 29(3) Akta SPRM yang menyatakan kuasa untuk menyiasat oleh SPRM boleh digunakan jika pegawai SPRM ada "sebab untuk mengesyaki" dan bukan hanya kerana laporan dibuat.

Tindakan terburu-buru mengadakan siasatan terhadap Mohd Nazlan turut dikritik Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mempersoal mengapa ia segera dijaankan sedangkan tiada siasatan dibuka membabitkan Azam sendiri yang sebelum ini terpalit kontroversi pemilikan saham.

"Mengapa SPRM gagal membuka serta-merta kertas siasatan ke atas Azam Baki kerana melanggar undang-undang dalam pembelian berjuta-juta saham bernilai jutaan ringgit?" katanya dalam kenyataan media.

Post a Comment

0 Comments