MTUC gesa k'jaan keluar garis panduan gaji minimum


KERAJAAN
pimpinan Ismail Sabri yaakob digesa supaya segera mengeluarkan garis panduan bagi pelaksanaan gaji minimum bermula 1 Mei ini.

Setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor melalui satu kenyataan berkata, garis panduan itu perlu dibuat melalui pewartaan Perintah Gaji Minimum.

MTUC kini juga jelasnya menunggu perbincangan dengan kerajaan berkenaan mekanisme kadar gaji minimum baharu dan bimbang jika kerajaan tidak mempunyai masa yang cukup untuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.

“MTUC tidak mahu sejarah pelaksanaan gaji minimum pada 2013 berulang semula dengan banyak majikan tidak membayar gaji tersebut.

“Pekerja terpaksa membawa kes sehingga ke Mahkamah Tinggi bagi mendapatkan tunggakan gaji minimum,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menekankan bahawa gaji minimum RM1,500 perlu diwajibkan ke atas semua syarikat tanpa pengecualian.

Putrajaya pada Mac mengumumkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 berkuat kuasa pada 1 Mei ini.

Walau bagaimanpun, pelaksanaannya hanya akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Dalam pada itu, Kamarul turut membangkitkan persetujuan kerajaan berhubung gaji RM1,500 kepada pembantu rumah Indonesia yang bekerja di negara ini.

“Pekerja domestik dikecualikan dalam pemakaian perintah gaji minimum yang dilaksanakan sejak 2013 sehingga kini tetapi kerajaan Malaysia secara tiba-tiba setuju dengan cadangan kerajaan Indonesia.

“Persetujuan ini agak aneh kerana tiada sebarang perbincangan dilakukan di Malaysia,” katanya lagi.

Sebuah portal sebelum ini  melaporkan kandungan memorandum persefahaman (MoU) pada 1 Apr yang dimeterai antara Jakarta dan Kuala Lumpur, menyebut gaji minimum bagi amah Indonesia adalah RM1,500.

MTUC mahu perintah gaji minimum diwartakan
Menurut MoU itu, gaji perlu dibayar terus ke akaun bank pekerja selewat-lewatnya pada 7 haribulan, dengan bonus sebulan selepas kontrak selesai dan kenaikan gaji jika kontrak diperbaharui selepas dua tahun.

Jika gaji tidak dibayar tepat pada masanya, tambahan 5% daripada jumlah gaji yang belum dibayar akan ditambah sebagai pampasan dan kegagalan berterusan untuk membayar gaji selama dua bulan berturut-turut akan memberi hak kepada pekerja rumah untuk menamatkan kontrak pekerjaan.

Post a Comment

0 Comments