HARAPAN mahu menteri perjelas prinsip asas RUU Anti Lompat Parti

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (HARAPAN) menuntut  sidang khas kedua bagi meluluskan rang Undang-undang (RUU) antilompat parti ditetapkan pada Isnin ini.

Melalui satu kenyataan, gabungan pembangkang terbesar itu turut menggesa menteri yang bertanggungjawab membentangkan RUU itu menyatakan dengan jelas berkenaan prinsip asas RUU itu yang bakal dibentang dan diluluskan.

“Pakatan Harapan percaya dengan meluluskan pindaan perlembagaan dan RUU antilompat parti, kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya dan demokrasi berparlimen akan dapat  mula dipulihkan,” kata mereka.

Kenyataan itu ditandatangani pemimpin kanan keempat-empat parti komponen HARAPAN daripada KEADILAN, DAP, Amanah dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

HARAPAN juga mengulangi pendirian bahawa meluluskan RUU itu merupakan antara syarat utama dalam perjanjian persefahaman (MOU) mereka dan kerajaan.

Mereka berkata perkara itu telah ditegaskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang melibatkan wakil kerajaan dan HARAPAN pada Khamis.
 
Sebelumnya pada Selasa, HARAPAN memberi komitmen penuh menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang awalnya mahu dibentangkan Isnin depan.

HARAPAN mahu tarikh baru ditetapkan
Komitmen itu dinyatakan selepas pemimpin kanan gabungan itu mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar memberitahu bahawa RUU itu ditangguhkan setelah kabinet dilapor tidak bersetuju dan mahu definisi “lompat parti” dikaji semula.

Post a Comment

0 Comments