PEGUAM Negara Idrus Harun digesa menyambung semula tindakan undang-undang terhadap bekas jurubank Goldman Sachs Roger Ng Chong Hwa.
Gesaan itu dibuat Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng , susulan keputusan mahkamah Amerika Syarikat yang menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Roger Ng atas kesalahan rasuah dan pengubahan wang haram dalam kes 1MDB.
Tambah Lip Eng, tindakan undang-undang terhadap Roger Ng wajar disegerakan tanpa perlu menunggu Ng menyelesaikan rayuan atas sabitan bersalah itu.
“Seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang prihatin yang kini mengikuti berita itu dengan teliti, saya amat kecewa dengan maklum balas peguam negara terhadap sabitan jenayah seorang bekas jurubank yang terlibat dalam skandal 1MDB.
“Selepas Ng disabitkan pada hari Jumaat oleh juri AS atas tiga pertuduhan rasuah berhubung 1MDB, peguam negara menyatakan bahawa Malaysia perlu menunggu sehingga dia menyelesaikan haknya untuk merayu di AS sebelum meneruskan prosiding undang-undang terhadap bekas jurubank itu," kata Lim dalam satu kenyataan.
Terdahulu Juri mensabitkan Roger Ng atas dua pertuduhan berkonspirasi dalam melanggar Akta Amalan Rasuah Luar Negara (FCPA) dengan rasuah dan memintas kawalan akaun dalaman Goldman, serta satu pertuduhan konspirasi untuk dalam pengubahan wang haram.
Pendakwa raya AS Daerah Timur New York Breon Peace, dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu adalah satu kemenangan yang bukan sahaja untuk kedaulatan undang-undang, tetapi juga untuk rakyat Malaysia
"Pada 2019, sebelum perbicaraan Roger Ng di AS, dia sudah pun ditahan di Malaysia untuk siasatan jenayah dan sedang menunggu perbicaraan.
"Apabila perintah ekstradisi ke AS tiba, Roger Ng memilih untuk dipindahkan ke AS untuk perbicaraan dan perbicaraannya di Malaysia ditangguhkan. Perbicaraan Roger Ng tidak boleh ditangguhkan lagi.
"Idrus harus segera mendapatkan penghantaran pulang Ng, dan perintah juga harus diberikan untuk mendakwa rakan warga Malaysia Ng yang terlibat semasa perbicaraan mahkamahnya di AS," kata Ahli Parlimen DAP itu.
Terdahulu Ahli Parlimen Pagoh, Mahiaddin Md Yassin berkata dia mahu perbicaraan 1MDB di Malaysia disegerakan.
Walaupun tidak menyebut nama tertentu, ia dipercayai merujuk kepada seteru politiknya Najib Razak.
Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Idrus digesa ambil tindakan terhadap Roger Ng
Selain kes 1MDB, Najib juga dalam rayuan terakhirnya untuk kes rasuah berkaitan SRC International. SRC ialah anak syarikat 1MDB.


0 Comments