Bagaimana PAS nak baiah MP pelbagai kaum , Azan soal Hadi


KENYATAAN
  Presiden PAS Abdul Hadi Awang bahawa pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti tidak perlu dibuat secara tergopoh-gapah dibidas kerana disifatkan mengelirukan.

Azan Ismail yang juga merupakan pengerusi KEADILAN Terengganu berkata, kenyataan Abdul Hadi bahawa parti dipimpinnya mempunyai cara tersendiri menyelesaikan isu lompat parti iaitu melalui amalan sumpah baiah hanya membangkitkan persoalan lain.

"Bagaimana Presiden PAS hendak memperkenalkan baiah kepada kesemua 222 ahli parlimen yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama," katanya kepada Malaysiakini.

"PAS sepatutnya sebagai pihak kerajaan tidak boleh bertindak mengelirukan rakyat Malaysia mengenai pendirian mereka," kata bekas ahli parlimen Indera Mahkota itu dipetik laporan Malaysiakini.

Abdul Hadi sebelum ini dilapor berkata bahawa PAS berpendapat RUU Antilompat Parti memerlukan penelitian lebih lanjut.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Marang itu berkata partinya mengelakkan tindakan ahli-ahli politiknya daripada melompat parti melalui baiah iaitu perjanjian untuk memberi ketaatan di mana individu yang berbuat demikian kepada sesebuah parti sama seperti membuat janji taat setia dan akur terhadap keputusan parti mereka.

mengulas lanjut kenyataan Abdul Hadi itu, Azan berkata pemimpin politik veteran itu sewajarnya memberi kenyataan tegas berhubung pendirian partinya dalam isu RUU berkenaan.

"Apakah pendirian PAS sekiranya selepas PRU masih ada lompat parti dan 'katak-katak' dibiarkan begitu sahaja.

"Sebab itu akta antilompat parti perlu disegerakan. Harap-harap kerajaan hari ini tidak terheret sama dengan pendirian mengelirukan PAS," katanya dipetik.

Sebagai rekod, isu baiah dikalangan wakil rakyat PAS pernah menjadi perhatian apabila ia dilapor memasukkan kandungan sumpah yang boleh menggugurkan talak ke atas isteri mereka.

Bagaimana nak ajak MP kaum lain berbaiah cara PAS?
Seorang pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Phahrolrazi Zawawi dalam satu laporan berita pada 2018 mengingatkan PAS bahawa mendakwa sumpah baiah itu boleh memberi implikasi negatif kepada dua pihak, selain memperlihatkan pendekatan parti itu yang ekstrem.

Bagaimanapun, kandungan berkaitan talak difahamkan telah dimansuhkan dalam sumpah baiah dilafazkan pada pilihan raya lalu.