PENYELESAIAN yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs sebagai pramatang, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang merupakan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) melalui satu hantaran di laman Facebooknya pada Isnin menegaskan bahawa Putrajaya dilihat gagal mengambil kira tahap kerugian yang sedang dan akan terus ditanggung rakyat Malaysia.
"Mengenai penglibatan jelas Goldman Sachs dalam 'penipuan' ini, saya mengulangi pendirian bahawa penyelesaian yang dicapai antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs pada 2020 adalah pramatang dan gagal untuk mempertimbangkan kerugian yang akan terus ditanggung oleh rakyat Malaysia," kata presiden KEADILAN itu.
Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng sebelum ini didapati bersalah oleh Mahkamah Amerika Syarikat (AS) kerana melakukan konspirasi menyeleweng ratusan juta dolar daripada syarikat pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sementara itu tambah Anwar, walaupun Ng telah disabitkan dengan jenayah dalam kes 1MDB, adalah tidak jujur untuk mendakwa bahawa keadilan telah ditegakkan.
Tambahnya, rakyat Malaysia berhak marah dan kesal dengan watak-watak yang punya kuasa yang mampu untuk menghentikan rompakan ini dari berlaku.
"Namun, ternyata mereka bungkam dan benarkan ia berlaku. Malah kenyataan saksi sepanjang perbicaraan ini hanya mendedahkan kesalahan dan peranan yang dimainkan ramai dalam ‘penipuan’ ini.
“Sebagai mantan Menteri Kewangan, saya yakin jumlah dana yang sebegitu besar dengan potensi risiko yang begitu besar terhadap kewangan negara tidak akan boleh melepasi pengawasan dan penelitian negara tanpa tangan dan peranan pegawai-pegawai kanan kerajaan,” katanya lagi.
Anwar juga menegaskan bahawa Pegawai-pegawai kanan Goldman Sachs yang terlibat dengan skandal 1MDB tidak boleh melepaskan diri dari kelalaian mereka serta kerosakan dan kerugian yang diakibatkan kepada Malaysia.
Ng, 49, dituduh mengambil sogokan AS$35.1 juta untuk membantu ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho (Jho Low) mencuri AS$2.7 bilion daripada 1MDB. Dia didakwa atas tiga pertuduhan bersubahat dan berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun jika sabit kesalahan terhadap kesemuanya.
Anwar dalam hantaran di Facebooknya juga mempersoal jaminan diberikan pihak berkuasa sebelum ini bahawa Jho Low dan gerombolannya akan diberkas.
Namun sehingga hari ini tegasnya jaminan diberikan itu masih belum terhasil.
![]() |
Bila nak tangkap Jho Low? |
“Saya tidak akan berdiam diri selagi mana mereka ini tidak muncul di mahkamah di Malaysia,” katanya.