Belajar dari pengkhianatan, Rafizi tolak idea khemah besar


RAFIZI RAMLI
menolak sebarang cadangan supaya KEADILAN dan Pakatan Harapan (HARAPAN) menggunakan pendekatan khemah besar pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pendirian itu dinyatakan bekas Ahli Parlimen Pandang itu sempena kempen Pemilihan KEADILAN 2022.

Dipetik laporan media, Rafizi berkata sudah tiba masanya KEADILAN bekerja bermula dari bawah semula bagi memenangi hati pengundi daripada terus berunding dengan parti lain untuk kembali ke Putrajaya yang menurutnya hanya membuang masa.

Rafizi turut menggesa gabungan itu belajar daripada peristiwa pengkhianatan dua tahun lalu yang menyaksikan mandat rakyat dirampas melalui 'Langkah sheraton'

“Pada ketika itu ada pimpinan parti katanya ada hubungan baik dengan PAS, Umno, Bersatu, mereka yakin mereka boleh yakinkan yang (presiden Umno) Zahid (Hamidi) sokong Anwar (Ibrahim). Saya terima dan saya balik buat kerja saya.

“Dua tahun kita kena tipu dengan (presiden Umno) Zahid (Hamidi), kena tipu dengan (bekas perdana menteri) Najib Razak lepas itu (HARAPAN) kena jatuh dengan (presiden Bersatu) Muhyiddin (Yassin),” katanya pada program di Subang jaya itu.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, Anwar sebagai Pengerusi HARAPAN telah disalahkan atas kegagalan mengambil semula mandat rakyat.
 
“Masalahnya, yang jadi mangsa adalah saudara Anwar, yang kena maki saudara Anwar. Sebab orang kata kamu boleh dapat angka yang cukup. Mana angka yang sepatutnya membantu.

“Sebab itu selepas dua tahun, saya kata sudah-sudahlah kita dapat sampai ke Putrajaya dengan pakai khemah, sekarang dengan zaman ribut cuaca, pakailah khemah macam mana terbang semua,” katanya yang mendapat tepukan gemuruh ahli parti.

Dalam pada itu, Rafizi turut membidas beberapa pemimpin yang mengkritik pandangan beliau dan ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar bahawa gabungan itu perlu realistik terhadap PRU15.

KEADILAN mesti bermula semula dari bawah
“Dua tiga hari ini ramai bidas Izzah, pandangan beliau sama macam saya, kita kena realistik. Sebenarnya apa yang kami mahu sampaikan, kalau kita tak lakukan sesuatu secara drastik dalam tempoh empat bulan dari sekarang, kita akan kalah PRU,” katanya.

Izzah sebelum ini meramalkan gabungan itu memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun atau dua pusingan PRU untuk kembali menguasai Putrajaya.

Post a Comment

0 Comments