Menteri wanita dikecam, didakwa cari publisiti


MENTERI
, Rina Harun dikecam sebagai “mencari publisiti” susulan tindakannya melawat remaja sindrom Down yang menjadi mangsa kes penderaan, Bella, bersama media baru-baru ini.

Dipetik laporan FMT,  Pengasas bersama Yayasan Chow Kit, Datuk Dr Hartini Zainudin berkata, menteri  pembangunan wanita, keluarga, dan masyarakat itu  hanya melibatkan diri selepas kes remaja 13 tahun itu menarik perhatian Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Rina yang merupakan Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu dilihat 'tidak banyak bersuara' dalam kes tersebut.

“Saya tidak tahu apa motifnya, tetapi pastinya nampak seperti berlumba-lumba untuk menunjukkan bahawa beliau melakukan sesuatu dalam kes penderaan Bella,” kata Hartini dipetik.

Di Twitter, Hartini berkata, Rina “tidak sensitif dan tidak tahu mengenai perlindungan kanak-kanak” dan meminta beliau “berhenti bergambar”.

"Hentikan photo ops (sesi bergambar) @RinaMohdHarun.

Ini bukan mengenai anda mendokumentasikan bukti bahawa anda mengambil berat atau anda membuat tindakan kepada 'buat kerja' (dilihat bekerja). Tidak sensitif dan 'tidak tahu' tentang perlindungan kanak-kanak," katanya dipetik laporan Mstar pula.

"Bella tu belum lagi bersedia nak jumpa orang luar, datang bawak wartawan, jurugambar dan jurukamera bagai. Takut la budak tu," tulis pengguna Twitter @wahidahu55ain.

"Ini adalah salah dari segi etika, moral dan profesional," kata seorang lagi pengguna Twitter, Munirah Mazlan.

Mstar dalam laporan mendakwa lawatan itu dilakukan ketika sesi lawatan beliau ke sebuah rumah di Seremban, Negeri Sembilan, pada Julai tahun lalu.

Sementara itu Hartini menyifatkan Rina telah hilang kebolehpercayaan sebagai seorang menteri yang menjaga kebajikan kanak-kanak rentan kerana langkah itu dilihat “kurang ikhlas” dan “hipokrit”.
 
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan, iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Dia dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam menawarkan khidmat peguamnya secara percuma bagi menjalankan arahan memerhati bagi kes Bella.

Kemudian, Rina tampil mengalu-alukan tawaran Tunku Ismail itu dan berkata, beliau akan memberi taklimat kepada TMJ mengenai langkah-langkah yang diambil oleh kementerian berhubung perbicaraan itu.

Apakah Rina Harun layak jadi menteri?
Walau bagaimanapun tawaran Rina itu sekali lagi dipersoalkan.

“Kes Bella menjadi tumpuan sejak Julai 2021, sudah sembilan bulan. Apa yang kamu buat ketika itu?” kata seorang warganet.

“Ia bukan hanya Bella, adakah kamu faham? Kamu mempunyai kuasa untuk memastikan kanak-kanak selamat, adakah kamu melakukan apa-apa?” kata seorang lagi pengguna.